Ubat digunakan untuk mengelakkan pembekuan selepas pendarahan dalam otak

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan yang digunakan untuk mencegah pembekuan (rawatan antitrombotik) di peringkat awal dan jangka panjang terhadap orang yang mempunyai pendarahan dalam otak mereka (pendarahan intraserebral)?

Latar belakang

Orang yang menghidap strok disebabkan oleh pendarahan dalam otak (juga dikenali sebagai pendarahan intraserebral: ICH) lebih cenderung untuk membentuk pembekuan dalam saluran darah mereka disebabkan oleh darah tidak bergerak (di peringkat awal) dan disebabkan oleh keadaan perubatan lain (dalam jangka masa panjang). Darah beku di dalam paru-paru, otak, atau lain-lain organ boleh menyebabkan penyakit yang serius atau kematian. Ubat-ubatan yang menghalang pembekuan (juga dikenali sebagai 'ubat antitrombotik') mungkin berguna untuk menghentikan pembekuan pada orang dengan ICH. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini juga boleh menyebabkan komplikasi pendarahan yang serius.

Ciri-ciri kajian

Dari carian menyeluruh yang dilakukan pada 8 Mac 2017, kami mengenal pasti dua kajian terkawal secara rawak (RCT) yang berkaitan, yang merupakan kajian rawatan yang paling adil. Terdapat 121 peserta dalam kedua-dua kajian ini, yang dibandingkan dengan ubat penipisan-darah 'antikoagulan' (heparin dalam satu dan enoxaparin dalam yang lain) yang dimasukkan oleh suntikan di bawah kulit berbanding tiada ubat antikoagulan tidak lama selepas ICH.

Keputusan-keputusan utama

Hasil utama ulasan ini adalah risiko gabungan beberapa peristiwa hasil klinikal yang penting (seperti satu lagi pendarahan intraserebral, strok iskemia, atau kematian berpunca dari kardiovaskular). Kami tidak dapat mengira hasil ini untuk kajian yang disertakan. RCT juga tidak melaporkan tentang pemulihan berdikari atau keupayaan mental. Satu RCT yang melibatkan 46 peserta melaporkan kes kematian yang berkaitan dengan rawatan antitrombotik jangka pendek, dan tidak menemui kesan yang bermakna secara statistik. Untuk kesan daripada rawatan yang boleh dianalisa, anggaran risiko adalah tidak menentu dan tidak pasti. Oleh itu, potensi manfaat dan kemudaratan ubat antitrombotik selepas strok disebabkan pendarahan di otak masih tidak jelas. RCTs baru yang berkualiti tinggi menyiasat penggunaan rawatan antitrombotik selepas strok kerana ICH kelihatan wajar dan diperlukan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah. Ini disebabkan oleh cara kajian yang dijalankan dan dilaporkan, serta bilangan kecil peserta, yang mungkin tidak mempunyai jumlah yang mencukupi untuk mengesan perbezaan kecil antara kumpulan rawatan antitrombotik dan rawatan tanpa antitrombotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save