Aspirin (dos tunggal) untuk melegakan kesakitan perineal selepas melahirkan anak

Apakah isunya?

Bolehkah aspirin diberikan kepada wanita yang mengalami sakit perineal setelah melahirkan anak untuk menghilangkan rasa sakit, tanpa menimbulkan kesan sampingan bagi wanita atau bayinya?

Mengapakah ini penting?

Ramai wanita mengalami kesakitan di perineum (kawasan di antara faraj dan dubur) selepas melahirkan anak. Perineum boleh menjadi lebam atau terkoyak semasa melahirkan anak, atau luka dibuat untuk membantu bayi dilahirkan (episiotomi). Selepas melahirkan anak, sakit perineum boleh mengganggu kemampuan wanita untuk menjaga bayi mereka yang baru lahir dan menyusu. Sekiranya kesakitan perineum tidak dapat diatasi dengan berkesan, masalah jangka panjang bagi wanita mungkin termasuk hubungan seksual yang menyakitkan, masalah lantai panggul yang mengakibatkan inkontinens, prolaps, atau sakit perineum kronik. Aspirin mungkin diberikan kepada wanita yang mengalami sakit perineal setelah melahirkan, tetapi keberkesanan dan keselamatannya belum dinilai dalam ulasan sistematik. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan 2017. Ini adalah sebahagian daripada siri ulasan yang melihat ubat-ubatan untuk membantu melegakan sakit perineal dalam beberapa minggu pertama selepas melahirkan anak.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada Oktober 2019, dan memasukkan 17 kajian terkawal secara rawak, yang melibatkan 1132 wanita, yang diterbitkan antara tahun 1967 dan 1997. Semua wanita mengalami sakit perineal setelah episiotomi (biasanya dalam 48 jam setelah melahirkan anak), dan tidak menyusu. Wanita tersebut menerima aspirin (dos antara 300 mg hingga 1200 mg) atau pil palsu (plasebo), melalui mulut. Kualiti metodologi kajian sering tidak jelas. Dua kajian tidak menyumbang sebarang data untuk analisis.

Aspirin berbanding dengan plasebo dapat meningkatkan kelegaan kesakitan yang mencukupi untuk ibu empat hingga lapan jam selepas ia diberikan (bukti kepastian rendah). Tidak dapat dipastikan sama ada aspirin berbanding dengan plasebo mempunyai kesan terhadap keperluan untuk menghilangkan rasa sakit tambahan, atau kesan buruk bagi ibu, dalam masa empat hingga lapan jam selepas pemberian ubat (kedua-dua kepastian bukti yang sangat rendah).

Kesan pemberian 300 mg berbanding 600 mg aspirin (1 kajian), 600 mg berbanding 1200 mg aspirin (2 kajian), atau 300 mg berbanding 1200 mg aspirin (1 kajian) adalah tidak pasti untuk melegakan kesakitan yang mencukupi, keperluan untuk penambahan kelegaan kesakitan, atau kesan buruk bagi ibu.

Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kesan buruk aspirin pada bayi, atau hasil lain yang kami rancangkan untuk menilai: tempoh tinggal di hospital yang berlanjutan, atau kemasukan hospital kerana sakit perineum; sakit perineal enam minggu selepas melahirkan anak, pandangan wanita, atau kemurungan selepas bersalin.

Apakah maksudnya?

Dos tunggal aspirin dapat membantu mengatasi sakit perineal berikutan episiotomi bagi wanita yang tidak menyusu, ketika diukur empat hingga lapan jam selepas pemberian ubat.

Kami tidak menemui maklumat untuk menilai kesan aspirin bagi wanita yang sedang menyusukan bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information