Apakah manfaat dan risiko pembedahan rekonstruktif untuk merawat ulser tekanan?

Mesej utama

- Kami tidak pasti akan manfaat dan risiko pembedahan rekonstruktif (juga dikenali sebagai pembedahan plastik) untuk merawat ulser tekanan (juga dikenali sebagai luka katil, luka tekanan atau kecederaan tekanan).

- Kami mendapati satu kajian kecil (20 peserta) yang menyelidik pembedahan rekonstruktif untuk ulser tekanan yang dalam dan sukar sembuh, namun kami tidak dapat mencapai sebarang kesimpulan daripada keputusan yang dilaporkan.

- Kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk meneroka subjek penting ini.

Apakah itu ulser tekanan?

Ulser tekanan adalah kecederaan kulit dan tisu yang biasanya disebabkan oleh mereka yang kekal dalam suatu posisi yang sama untuk jangka masa yang panjang. Apabila tekanan luaran dikenakan secara berterusan pada bahagian tubuh, aliran darah terhad kepada kulit dan tisu di bawahnya sahaja. Ini boleh mengakibatkan kulit atau tisu di bawahnya rosak, terutamanya di bahagian yang kurang lemak seperti bahagian bawah belakang dan tumit.

Mereka yang berisiko untuk mendapat ulser tekanan termasuklah orang tua, mereka dengan masalah mobiliti (contohnya pengguna kerusi roda) dan mereka yang menghabiskan masa yang lama di hospital.

Bagaimanakah ulser tekanan dirawat?

Ulser tekanan adalah kecederaan serius yang mahal untuk dirawat, jadi penjagaan sering menumpukan kepada pencegahannya. Apabila ulser berlaku, pilihan rawatan termasuklah balutan luka, antibiotik dan antiseptik.

Pembedahan rekonstruktif biasanya dikhaskan untuk ulser tekanan yang dalam atau sukar sembuh. Terdapat pelbagai jenis pembedahan rekonstruktif, tetapi kebanyakannya melibatkan pembuangan tisu yang telah mati daripada luka dan seterusnya menggunakan tisu lembut seperti otot, lemak atau kulit dari bahagian lain tubuh seseorang untuk mengisi ruang luka.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin menilai manfaat dan risiko pembedahan rekonstruktif untuk merawat ulser tekanan berbanding dengan tanpa pembedahan; serta manfaat dan risiko pelbagai jenis pembedahan rekonstruktif antara satu sama lain. Keputusan yang kami ingin ketahui ialah:

- kesembuhan penuh luka;
- luka terbuka semula atau ulser baru berlaku di tempat yang sama dengan ulser sebelumnya;
- kos dan penggunaan sumber;
- kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan;
- jangkitan luka; dan
- ulser baru berlaku di kawasan yang berbeza daripada ulser sebelumnya.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami melakukan pencarian di pangkalan data elektronik dan di pendaftaran untuk kajian rawak terkawal yang merupakan kajian klinikal yang memperuntukkan peserta secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza. Jenis kajian sebegini dapat memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan rawatan. Kami menyertakan kajian yang menyelidik kesan pembedahan rekonstruktif untuk merawat ulser tekanan berbanding dengan tanpa pembedahan. Kami juga menyertakan kajian yang membandingkan pelbagai jenis pembedahan rekonstruktif untuk merawat ulser tekanan. Kami tidak mengenakan had berkenaan dengan bahasa, tarikh penerbitan, atau tempat kajian dijalankan. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta kajian yang terlibat.

Apakah yang kami dapati?

Kami menemui satu kajian kecil yang telah dijalankan di Amerika Syarikat dan merekrut 20 peserta di hospital. Kajian ini menyiasat dua teknik pembedahan rekonstruktif yang berbeza bagi merawat ulser tekanan tahap IV, yang mempunyai kehilangan tisu dan kulit berketebalan penuh. Kajian tidak memberikan maklumat yang memadai tentang kesembuhan luka, luka terbuka semula, ulser berulang atau jangkitan luka untuk kami menilai keberkesanan teknik pembedahan yang berbeza.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak pasti akan kesan dua teknik pembedahan tersebut terhadap kesembuhan luka, luka terbuka atau terjadi semula, oleh kerana kajian tidak dijalankan atau dilaporkan dengan baik, dan ia melibatkan bilangan peserta yang kecil.

Kam tidak pasti tentang manfaat dan bahaya pembedahan rekonstruktif, dan juga pelbagai teknik pembedahan, bagi merawat ulser tekanan. Kajian yang lebih teliti diperlukan dalam bidang ini, memandangkan pesakit, penjaga dan ahli profesional kesihatan menganggapnya sebagai suatu isu utama.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information