Mandi dalam rumah dalam air garam diikuti pendedahan kepada cahaya ultraviolet B tiruan untuk psoriasis plak kronik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan mandi air garam dalam rumah untuk orang dewasa dengan psoriasis plak kronik diikuti dengan rawatan cahaya ultraviolet B (UVB) tiruan. Kami menilai dua perbandingan yang berbeza: 1) Mandian garam dengan UVB berbanding rawatan yang lain tanpa UVB; pembanding yang layak adalah pendedahan kepada mandian psoralen, mandian psoralen + cahaya ultraviolet A (UVA) tiruan, rawatan topikal, rawatan sistemik (ubat oral atau suntikan yang bertindak di seluruh badan), atau plasebo (bahan tidak aktif). 2) Mandian garam dengan UVB berbanding rawatan lain dengan UVB atau UVB sahaja; pembanding yang layak adalah pendedahan kepada mandian mengandungi komposisi atau kepekatan yang lain + UVB atau UVB sahaja. Tahap keparahan psoriasis boleh diukur dengan indeks kawasan dan keparahan psoriasis (PASI). Penambahbaikan boleh ditunjukkan dengan pengurangan PASI. Kami memerlukan sekurang-kurangnya 75% pengurangan skor PASI-75 untuk menilai potensi kesan yang bermanfaat. Bagi menilai potensi kesan yang memudaratkan, kami memilih kesan-kesan sampingan berkaitan rawatan cukup teruk untuk menghentikan rawatan.

Latar belakang

Psoriasis plak kronik adalah penyakit kulit bercirikan lesi berwarna merah dengan sisik keperakan. Mandi di dalam Laut Mati dan pendedahan kepada matahari mungkin menambah baik lesi tetapi mungkin tidak praktikal bagi kebanyakan pesakit. Mandian garam tiruan dan pendedahan kepada UVB boleh meniru pendedahan semulajadi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2019. Kami melibatkan lapan kajian (1976 peserta dianalisis). Satu kajian yang terlibat menilai mandian garam ditambah UVB berbanding rawatan lain tanpa UVB (mandian psoralen + UVA), tetapi ia tidak melaporkan hasil utama bagi perbandingan ini. Lapan kajian menilai perbandingan kami yang kedua: mandian garam dengan UVB berbanding rawatan lain dengan UVB atau UVB sahaja, dan kajian yang melaporkan sebarang hasil yang menarik (hanya lima kajian) secara khusus membandingkan mandian garam dengan UVB berbanding UVB sahaja.

Tiada kajian melaporkan hasil sekunder kami. Tempoh kajian keseluruhannya berjulat antara sekurang-kurangnya dua bulan dan sehingga 13 bulan. Hasil dinilai pada akhir rawatan.

Kami menganalisis kajian yang mana rawatan yang berbeza diaplikasikan kepada peserta yang berbeza, dan kami menganalisis kajian secara berasingan yang mana rawatan yang berbeza diaplikasikan kepada peserta yang sama, tetapi kepada anggota badan yang berbeza. Peserta adalah lelaki atau wanita, dan usia mereka kebanyakannya di antara 41 hingga 50 tahun. Dalam lima kajian, skor median PASI pada peringkat awal adalah di antara 15 hingga 18 dan adalah seimbang di antara lengan rawatan. Tiga kajian tidak melaporkan skor PASI. Tiga kajian ditaja oleh syarikat spa atau garam komersial, satu oleh syarikat insurans kesihatan, satu oleh persatuan dermatologi, dan tiga tidak melaporkan pembiayaan. Separuh kajian dijalankan di pelbagai tempat selebihnya dijalankan di satu tempat. Kebanyakan kajian dijalankan di Jerman; semuanya berpusat di Eropah.

Keputusan utama

Tiada kajian melaporkan data hasil utama bagi perbandingan mandian garam dengan UVB berbanding rawatan lain tanpa UVB; lima kajian melaporkan data hasil utama bagi mandian garam dengan UVB berbanding UVB sahaja. Berhubungan dengan pencapaian PASI-75, data terkumpul dari dua kajian menunjukkan mandian garam + UVB mungkin mengurangkan keparahan psoriasis berbanding UVB sahaja (bukti berkepastian rendah); tetapi, dua kajian ini dijalankan oleh kumpulan yang sama, dan Persatuan Spa Jerman membiayai salah satu kajian tersebut (kajian yang lain tidak melaporkan sebarang sumber pembiayaan). Tiada kajian menyembunyikan peruntukan rawatan daripada penilai hasil.

Apabila menilai peristiwa buruk berkaitan rawatan yang memerlukan penarikan diri, data dari tiga kajian yang lain menunjukkan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara mandian garam ditambah UVB dan pembanding UVB sahaja (bukti berkepastian rendah). Peristiwa buruk termasuklah iritasi kulit dan kegatalan teruk sebaik sahaja selepas rendaman garam Laut Mati (kumpulan mandian garam + UVB), dan tindak balas yang tidak mencukupi terhadap fototerapi dan penukaran kepada mandian psoralen + UVA (kumpulan hanya UVB).

Kepastian tentang bukti

Kami menilai bukti bagi ‘PASI-75’ dan ‘peristiwa buruk berkaitan rawatan yang memerlukan penarikan diri’ sebagai berkepastian rendah. Keyakinan kami dipengaruhi oleh batasan, seperti risiko bias (contohnya pembutaan yang tidak mencukupi dan kebarangkalian tinggi untuk bias penerbitan). Laporan hasil kami adalah tidak wujud atau terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save