Kesan mengurangkan lemak tepu yang dimakan terhadap risiko penyakit jantung

Soalan ulasan

Kami ingin tahu kesan kesihatan mengurangkan lemak tepu dalam makanan (menggantikan lemak haiwan dan lemak sayuran keras dengan minyak tumbuhan, sapuan lemak tak tepu atau makanan berkanji).

Latar belakang

Panduan kesihatan mencadangkan mengurangkan amaun lemak tepu yang dimakan, dengan mengurangkan lemak haiwan adalah baik untuk kesihatan. Kami ingin menggabungkan semua bukti sedia ada untuk melihat sama ada mematuhi nasihat ini mengurangkan risiko kematian atau mendapat penyakit kardiovaskular (penyakit jantung atau strok).

Ciri-ciri kajian

Kami menilai kesan mengurangkan amaun lemak tepu yang dimakan sekurang-kurangnya dua tahun terhadap hasil kesihatan termasuk kematian, penyakit jantung dan strok. Kami hanya melihat kajian orang dewasa (18 tahun ke atas). Mereka termasuk lelaki dan wanita dengan dan tanpa penyakit kardiovaskular. Kami tidak menyertakan kajian-kajian orang dengan sakit akut atau wanita hamil atau menyusui.

Keputusan utama

Kami temui 15 kajian dengan lebih daripada 56,000 peserta. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2019. Ulasan mendapati pengurangan lemak tepu menyebabkan penurunan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 17% (termasuk penyakit jantung dan strok), tetapi sedikit kesan risiko kematian. Ulasan mendapati manfaat kesihatan berpunca dari penggantian lemak tepu dengan lemak tak tepu atau makanan berkanji. Semakin banyak pengurangan lemak tepu, dan semakin banyak serum kolesterol total dikurangkan, semakin besar perlindungan dari peristiwa kardiovaskular. Orang yang sihat dilihat mendapat sama manfaat seperti mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit jantung atau strok (misalnya, orang dengan tekanan darah tinggi, kolesterol serum tinggi atau diabetes), dan orang yang telah mengalami penyakit jantung atau strok. Tiada perbezaan kesan antara lelaki dan wanita.

Ini bermakna, jika 56 orang tanpa penyakit kardiovaskular, atau 53 orang yang sudah ada penyakit kardiovaskular, mengurangkan lemak tepu mereka selama kira-kira 4 tahun, maka satu orang akan dapat mengelakkan peristiwa kardiovaskular (serangan jantung atau strok) yang mungkin mereka alami.

Kualiti bukti

Terdapat banyak bukti yang menilai kesan pengurangan lemak tepu sekurang-kurangnya dua tahun. Kajian-kajian tersebut menyediakan bukti berkualiti sederhana mengurangkan lemak tepu menurunkan risiko penyakit kardiovascular.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information