Fluoxetine untuk orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes

Soalan ulasan
Apakah kesan rawatan fluoxetine pada orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes?

Latar belakang
Fluoxetine adalah ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan, dan kesan sampingan adalah kekurangan selera makan. Oleh itu, disyaki bahawa fluoxetine boleh digunakan sebagai rawatan untuk orang yang berlebihan berat badan atau obes. Dalam kumpulan orang ini, pengunaan fluoxetine adalah rawatan luar label yang bermaksud ia tidak dilesenkan untuk merawat obesiti.

Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 19 percubaan rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menilai terutamanya wanita yang menerima dos fluoxetine yang berbeza. Sebanyak 1280 peserta yang berlebihan berat badan atau obes menerima fluoxetine dan 936 peserta menerima plasebo atau ubat anti-obesiti. Peserta dalam kajian yang dirangkumkan diikuti untuk tempoh yang berbeza-beza di-antara tiga minggu sehingga satu tahun.

Keputusan utama
Untuk kumpulan perbandingan utama - fluoxetine berbanding plasebo - dan untuk semua dos fluoxetine, terdapat penurunan berat badan sebanyak 2.7 kg dengan pengunaan fluoxetine. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan jikalau kajian tambahan akan menunjukkan manfaat untuk fluoxetine. Sebanyak 399 daripada 627 peserta (63.6%) menerima fluoxetine berbanding 352 daripada 626 peserta (56.2%) yang menerima plasebo mengalami kesan sampingan. Pening, mengantuk, keletihan, insomnia dan loya diperhatikan kira-kira dua kali lebih kerap selepas fluoxetine berbanding plasebo. Sejumlah 15 daripada 197 peserta (7.6%) menerima fluoxetine berbanding 12 daripada 196 peserta (6.1%) yang menerima plasebo yang mengalami kemurungan. Kajian-kajian itu tidak melaporkan sebarang kematian dari sebarang sebab, kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan dan kesan sosial ekonomi.

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2018.

Kepastian bukti
Kepastian keseluruhan bukti adalah rendah atau sangat rendah, terutamanya kerana jumlah kecil kajian setiap pengukuran hasil dan bilangan peserta yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Shaun Lee Wen Huey (Monash Universiti Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information