Suntikan toksin botulinum untuk pencegahan migrain dikalangan orang dewasa

Kesimpulannya

Pesakit migrain kronik (berterusan) yang dirawat dengan suntikan toksin botulinum migrain mereka berkurangan sebanyak dua har setiap bulan berbanding dengan mereka yang dirawat dengan plasebo (rawatan tiruan). Tidak jelas samada tambahbaik ini adalah cukup besar untuk memberi perbezaan yang bermakna kepada kehidupan mereka. Kajian lanjut diperlukan untuk membuktikan adakah toksin botulinum lebih baik dari rawatan oral pencegah migrain(ubat makan). Bukti bagi penggunaan toksin botulinum untuk pesakit migrain yang serangannya kadang-kadang (migrain berepisod) sahaja tidak dapat dipastikan. Rawatan dengan toksin botulinum tidak menyebabkan banyak kesan sampingan.

Latar belakang

Migrain terjadi kepada tiga dalam 20 orang dewasa dan tiga dalam setiap empat penghidapnya adalah wanita. Orang yang mengalami sakit kepala 15 hari atau lebih dalam satu bulan, dengan lapan hari atau lebih merupakan serangan migrain, dikatakan sebagai pengidap migrain kronik. Orang yang mengalami sakit kepala kurang dari 15 hari dalam satu bulan menghidapi migrain berepisod. Kami masukkan kajian yang membandingkan rawatan toksin botulinum dengan suntikan air garam plasebo, dos-dos toksin botulinum yang berbeza, atau rawatan oral yang lain untuk mencegah migrain. Kami mengumpul maklumat bagi hasil-hasil tersebut: bilangan hari migrain dalam sebulan (ukuran yang menjadi pilihan kami); keterukan migrain; penggunaan ubat-ubatan untuk simptom-simptom migrain; skala penilaian penyakit; skala kualti kehidupan; kesan-kesan sampingan; dan keberkesanan kos rawatan.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai 28 kajian klinikal yang melibatkan 4190 peserta. Purata umur mereka adalah 42 tahun dan lapan dalam setiap 10 peserta adalah wanita. Kemungkinan besar kami telah menjumpai kesemua kajian-kajian yang relevan yang telah diterbitkan sebelum Disember 2017. kebanyakan kajian berjangka masa pendek, yang paling panjang hanya sehingga sembilan bulan. Lebih kurang separuh daripada para peserta mempunyai simptom migrain kronik dan separuh lagi migrain berepisod. Dos-dos suntikan di dalam kajian adalah dari 6 hingga 300 unit. Dos yang disyorkan untuk migrain kronik di UK dan USA ialah 155-195 unit. Enam belas kajian, melibatkan 8 daripada 10 peserta, telah dibiayai oleh pengeluar toksin botulinum.

Keputusan-keputusan utama

Malangnya, perincian dalam laporan kajian tidak mencukupi bagi kebanyakkan ukuran-ukuran penyakit yang penting bagi kami untuk mengkajinya.

Pesakit migrain kronik yang dirawat dengan suntikan dos toksin botulinum yang disyorkan mengalami pengurangan serangan migrain sebanyak dua hari bagi setiap bulan berbanding dengan mereka yang dirawat dengan plasebo. Enam kajian dalam kajian yang melibatkan kedua-dua migrain kronik dan berepisod juga melaporkan bilangan serangan migrain setiap bulan. Toksin botulinum tidak terbukti lebih baik dari plasebo dalam mengurangkan bilangan serangan yang dialami setiap bulan. Toksin botulinum mungkin mengurangkan keterukan migrain tetapi kami memerlukan kajian yang lebih besar untuk meyakini keputusan ini.

Tiga kajian juga membandingkan toksin botulinum (sekurang-kurangnya 100 unit) dengan rawatan oral (sodium valproate dan topiramate). Tiada perbezaan tentang mengurangan bilangan hari migrain; data diperolehi hanya daripada satu kajian. Toksin botulinum tidak lebih baik atau lebih teruk dari rawatan oral dalam mengurangkan skor ke atas soal selidik hilang upaya migrain (Penilaian Hilang Upaya Migrain) bagi pesakit migrain kronik. Oleh kerana kesemua keputusan untuk perbandingan dengan rawatan oral diperolehi dari kajian-kajian kecil yang bilangannya sedikit, kemungkinan kajian-kajian besar pada masa depan akan mengubah keputusan ini oleh yang demikian bukti yang diperolehi setakat ini tidak begitu diyakini.

Daripada peserta-peserta yang dirawat dengan toksin botulinum, 60 peserta dalam 100 orang melaporkan kesan-kesan sampingan (paling lazim ialah kelopak mata yang menurun atau kelemahan otot), di mana ianya lebih tinggi sedikit dari bilangan yang menerima plasebo (47 dalam 100). Tiada perbezaan dilihat dalam risiko kesan-kesan sampingan antara toksin botulinum dan rawatan oral. Peserta-peserta daripada dua kajian kecil didapati lebih kurang empat kali berkemungkinan untuk menghentikan rawatan jika mereka diberi toksin botulinum berbanding jika mereka mengambil rawatan oral. Maklumat mengenai kesan-kesan sampingan telah dilaporkan untuk 8 daripada 10 peserta kajian.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya. Keputusan bagi perubahan dalam bilangan hari migrain untuk pesakit migrain kronik dan bilangan kesan-kesan sampingan yang dialami adalah berdasarkan bukti yang berkualiti sederhana. Kesemua keputusan-keputusan lain yang dibincangkan dalam ringkasan ini mempunyai bukti berkualiti rendah atau sangat rendah, jadi kesan sebenar kemungkinannya berbeza dari keputusan-keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information