Mesej utama
1. Kesan penurunan tekanan darah yang kurang agresif terhadap kematian keseluruhan adalah tidak jelas. Perbezaan mutlak dalam risiko adalah kecil, dan tidak jelas sama ada penemuan ini akan berbeza untuk orang yang sangat tua, atau bagi mereka yang lemah.
2. Bagi kebanyakan orang tua, meredakan sasaran tekanan darah apabila seseorang itu semakin tua (iaitu membiarkan tekanan darah lebih tinggi daripada sasaran tekanan darah konvensional pada orang yang lebih muda) mengakibatkan peningkatan risiko strok, dan berkemungkinan mengakibatkan peningkatan risiko yang berkaitan dengan jantung yang serius, kesan sampingan, yang termasuk strok, serangan jantung (penyumbatan mengejut dalam aliran darah ke otot jantung), kegagalan jantung (gangguan keupayaan jantung untuk mengepam darah), kerosakan buah pinggang dan kematian berkaitan jantung.
3. Sasaran tekanan darah yang relaks tidak mungkin menyebabkan adanya orang yang berhenti daripada kajian sasaran tekanan darah disebabkan oleh kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat.
4. Kami memerlukan lebih banyak kajian yang menyiasat manfaat dan bahaya keseluruhan untuk menyasarkan sasaran tekanan darah rendah pada mereka yang lemah, atau sangat tua.
Apakah tekanan darah tinggi?
Apabila tekanan darah dalam arteri kita meningkat, ia meningkatkan risiko strok, serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kematian. Pada satu ketika, apabila tekanan meningkat, risiko ini cukup tinggi untuk mengatasi sebarang potensi risiko rawatan. Ini adalah orang yang dianggap mempunyai ' tekanan darah tinggi', atau hipertensi.
Bagaimana tekanan darah tinggi dirawat?
Penurunan berat badan, mengurangkan penggunaan garam, bersenam dan mengikuti pemakanan Mediterranean semuanya boleh menurunkan tekanan darah, tetapi ramai orang juga memerlukan ubat penurun tekanan darah. Garis panduan klinikal terkini berbeza mengenai sasaran tekanan darah terbaik untuk orang tua. Sasaran julat daripada kurang daripada 130/80 hingga kurang daripada 150/90.
Bagi orang yang berumur 80 tahun ke atas, sekurang-kurangnya satu garis panduan mengesyorkan agar tekanan darah meningkat melebihi 160 mmHg sebelum memulakan rawatan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Sesetengah pakar perubatan percaya bahawa orang tua berisiko mendapat kesan sampingan daripada ubat tekanan darah, dan kita tidak seharusnya berusaha keras untuk menurunkan tekanan darah mereka.
Kami ingin mengetahui sama ada sasaran tekanan darah yang lebih tinggi akan mengurangkan risiko yang sama dan lebih selamat pada orang tua daripada sasaran tekanan darah rendah yang digunakan untuk populasi secara amnya.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan kesan sasaran tekanan darah yang lebih tinggi (kurang daripada 150 hingga 160 mmHg) dengan sasaran tekanan darah yang lebih rendah (kurang daripada 140 mmHg) pada orang yang berumur lebih dari 65 tahun. Kami mahukan kajian yang melaporkan jumlah kematian atau kesan sampingan yang lain yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah, seperti serangan jantung, strok atau kegagalan jantung. Kami juga berminat dengan jenis kesan sampingan yang lain yang berkaitan dengan kesihatan.
Kami hanya memilih kajian rawak (di mana orang mempunyai peluang yang sama untuk dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan ) yang berlangsung selama sekurang-kurangnya 12 bulan.
Apakah yang kami temui?
Untuk kemaskini ini, kami mendapati satu kajian baru. Kami kini mempunyai empat kajian yang cuba menjawab soalan ini, dan sejumlah 16,732 dewasa yang lebih tua .
Kami menemui mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah keseluruhan kematian antara mereka yang mempunyai sasaran tekanan darah yang lebih tinggi atau lebih rendah, yang diikuti selama dua hingga empat tahun.
Kami menemui bahawa sasaran tekanan darah yang lebih rendah mengurangkan risiko strok lebih baik daripada sasaran tekanan darah yang lebih tinggi. Ia mungkin mengurangkan peristiwa berkaitan jantung yang serius secara keseluruhan (seperti serangan jantung, kegagalan jantung), dan kematian disebabkan oleh masalah jantung. Sasaran BP yang lebih rendah mungkin menghentikan 10 peristiwa kardiovaskular yang serius bagi setiap 1000 orang yang dirawat selama lebih kurang tiga tahun.
Menyasarkan sasaran tekanan darah yang lebih tinggi mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan kepada bahagian orang yang berhenti daripada kajian kerana kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat mereka.
Apakah batasan bukti?
Beberapa faktor telah mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti.
1. Orang dalam kajian dan pembekal perubatan mereka mengetahui kumpulan sasaran tekanan darah yang mana mereka berada. Ini mungkin mempengaruhi tingkah laku, atau cara mereka melaporkan pengalaman mereka.
2. Bukan semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati.
3. Walaupun bukti memberi tumpuan kepada orang tua, tiga daripada empat kajian mengecualikan orang yang berumur 80 hingga 85 tahun atau lebih. Oleh itu, kami tidak memahami kesan sasaran tekanan darah rendah untuk orang yang sangat tua, atau untuk populasi yang lemah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur).Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).