Adakah rawatan jangkitan bakteria di kerongkong Streptokokaldapat membantu merawat psoriasis?

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sebaik mana rawatan untuk jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Streptokokal bertindak, dan keselamatannya, bila dibandingkan dengan tanpa rawatan, plasebo (rawatan serupa tetapi tidak aktif), atau antara satu dengan yang lain, di kalangan pesakit yang mempunyai psoriasis guta atau psoriasis plak kronik.

Latarbelakang

Psoriasis plak kronik merupakan satu keadaan jangka panjang yang menyebabkan kulit bertompokan merah, berkuping, dan ditutupi dengan sisik (dikenali plak); ia merupakan jenis psoriasis yang paling kerap, dan lebih lazim dalam dewasa.

Psoriasis guta pula mempunyai kawasan tompokan yang lebih kecil ,dan ia lebih lazim di kalangan kanak-kanak dan orang muda. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa psoriasis guta terjadi dalam kurang dari 30% pesakit psoriasis.

Punca psoriasis tidak diketahui, tetapi jangkitan Streptokokal mungkin bertindak sebagai pemula psoriasis guta atau memburukkan psoriasis plak kronik.

Tonsilektomi mungkin mencegah atau mengurangkan keseriusan jangkitan tekak, dan menghadkan simpanan Streptokokal. Antibiotik bertindak dengan menghapuskan bakteria yang diperhatikan dapat mencetus psoriasis.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.

Kami memasukkan lima kajian (162 peserta); tiga dilaksanakan di jabatan dermatologi hospital. Peserta berumur antara 12 hingga 77 tahun (100 lelaki; 62 wanita). Satu kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal. Keseriusan penyakit adalah antara ringan hingga serius. Bakteria Streptococcus ditemui di dalam 14% tekak pesakit.

Kami klasifikasikan hasil yang diukur dalam tempoh lapan minggu dari permulaan rawatan sebagai jangka pendek, dan yang diukur sekurang-kurangnya satu tahun selepas bermula rawatan sebagai jangka panjang. Semua kajian antibiotik dalam pesakit psoriasis guta bertempoh jangka pendek; kajian antibiotik dalam psoriasis plak kronik adalah sepanjang 48 minggu.

Tiga kajian melibatkan peserta dengan psoriasis guta, dan telah dinilai kesan-kesan jangka pendek antibiotik: penisilin (20 peserta), atau eritromisin dibandingkan kepada tanpa rawatan (43 peserta), dan rifampisin dibandingkan kepada plasebo (20 peserta).

Dua kajian melibatkan peserta dengan psoriasis plak kronik. Satu kajian menilai azitromisin (antibiotik) berbanding vitamin C pada 48 minggu (50 peserta); satu menilai tonsilektomi berbanding tanpa intervensi pada lapan minggu dan 24 bulan (29 peserta).

Keputusan utama

Keputusan-keputusan ini disokong oleh bukti berkualiti sangat rendah, oleh sebab itu kami tidak dapat memastikan ketepatannya. Setiap keputusan berdasarkan kepada satu kajian sahaja.

Tiada kajian mengukur hasil utama yang kami inginkan, masa yang diambil untuk kulit menjadi bersih (tanpa tompokan) atau hampir bersih, atau risiko penyakit berulang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh susulan jangka panjang.

Tidak ada kesan-kesan sampingan dilhat apabila penisilin dibandingkan dengan tanpa rawatan dalam pesakit psoriasis guta. Kesan-kesan sampingan tidak diukur untuk perbandingan rifampisin dengan plasebo, atau eritromisin berbanding tanpa rawatan.

Dalam peserta psoriasis plak kronik, satu kajian menilai azitromisin berbanding vitamin C, dan 10 peserta dalam kumpulan azitromisin mengadu loya atau sakit perut yang sedikit. Kajian tonsilektomi berbanding tanpa rawatan melaporkan satu kes pendarahan kecil di dalam kumpulan tonsilektomi.

Dua kajian dalam peserta dengan psoriasis plak kronik telah mengukur bilangan peserta yang mencapai 75% pengurangan berlandaskan Indeks Kawasan Psoriasis dan Keseriusan (PASI 75). Dalam satu, 18/30 peserta dalam kumpulan azitromisin mencapai PASI 75 berbanding tiada dalam kumpulan vitamin C. Dalam yang lain, 3/15 dalam kumpulan tonsilektomi mencapai PASI 75 berbanding tiada dalam kumpulan tanpa rawatan. Kajian psoriasis guta tidak menilai hasil ini.

Kami tidak pasti samada bilangan peserta dengan psoriasis guta yang mencapai kulit bersih atau hampir bersih berbeza diantara mereka yang diberikan penisilin dan mereka yang tidak menerima rawatan. Hanya satu peserta dengan psoriasis plak kronik telah mencapai kulit yang hampir bersih dalam kumpulan tonsilektomi berbanding dengan tiada dalam kumpulan tanpa rawatan. Tiga kajian yang lain tidak mengukur hasil ini.

Kualiti bukti

Banyak hasil utama yang kami kehendaki tidak dinilai. Hasil yang dinilai pula berlandaskan kepada bukti berkualiti sangat rendah, bermakna kami tidak pasti akan ketepatannya. Kajian-kajian adalah sangat kecil, dan mempunyai risiko bias yang tinggi kerana peserta dan penilai kajian tahu rawatan yang diterima. Lebih banyak kajian diperlukan untuk melihat samada rawatan antibiotik untuk jangkitan Streptokokal memendekkan tempoh psoriasis guta akut, menghentikannya daripada berlarutan kepada jangka panjang (psoriasis plak kronik).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S.Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information