Tapentadol oral untuk sakit akibat kanser

Tapentadol yang diambil melalui mulut mampu melegakan kesakitan dengan baik bagi kebanyakan orang yang mengalami kesakitan secara sederhana atau teruk akibat kanser, sama seperti morfin atau oksikodon.

Satu daripada dua atau tiga orang yang menghidap kanser akan mengalami kesakitan yang sederhana hingga teruk. Semasa kanser semakin merebak, kesakitan mungkin bertambah teruk. Morfin telah digunakan sejak 1950-an untuk mengawal sakit akibat kanser. Sejak itu, sejumlah ubat yang bertindak seperti morfin telah dihasilkan untuk mengawal kesakitan, salah satunya adalah tapentadol. Tapentadol telah dikaji dalam ujian-ujian klinikal sejak tahun 2005, tetapi hanya digunakan di UK sejak 2011. Ia boleh didapati dalam bentuk tablet dengan kekuatan berbeza, dan biasanya diambil dua kali sehari. Dalam ulasan ini, kami ingin menganggarkan seberapa baik tapentadol berfungsi dan berapa banyak orang yang mengalami kesan sampingan, termasuk kesan serius atau kesan yang mengakibatkan pengguna berhenti mengambil ubat tersebut.

Kami mencari ujian-ujian klinikal di pangkalan data perubatan tentang orang dewasa yang mengalami sakit akibat kanser secara sederhana hingga teruk yang membandingkan tapentadol dengan plasebo (ubat dummy) atau ubat penahan sakit yang lain, dan mengukur kesakitan melalui penggunaan kaedah penilaian yang diakui.

Kami menemui empat kajian dengan 1029 peserta. Kesemua empat kajian membandingkan peserta yang mengambil tapentadol dengan peserta yang mengambil ubat yang serupa, seperti morfin atau oksikodon. Semua kajian memberi peserta jangka masa untuk mencari dos terbaik yang harus diambil, sebelum meneruskan pengambilan ubat dan membandingkan tahap kesakitan mereka.

Kesemua kajian adalah bersaiz kecil atau sederhana, jadi keputusan adalah berisiko untuk dipengaruhi oleh turun naik secara rawak dan bukannya perbezaan yang nyata, dan mereka juga mungkin menilai kesan secara berlebihan. Satu ujian membenarkan peserta mengetahui apa ubat yang mereka ambil, dan satu ujian dihentikan lebih awal kerana masalah pentadbiran, sehingga mereka tidak mempunyai cukup peserta dalam kajian ini. Kita harus berhati-hati menafsirkan keputusan dari kajian-kajian ini.

Oleh kerana kajian-kajian ini menggunakan reka bentuk yang berbeza, kami tidak dapat membandingkan keputusan dari satu dengan yang lain. Walau bagaimanapun, setiap kajian menunjukkan bahawa tidak banyak perbezaan antara tahap kesakitan orang yang mengambil tapentadol dan orang yang mengambil morfin dan oksikodon. Tahap kesakitan pada umumnya dikawal dengan baik. Kajian juga menunjukkan tidak ada perbezaan yang dapat diukur dalam berapa banyak kesan sampingan yang dialami orang ketika mengambil tapentadol, morfin, atau oksikodon.

Oleh itu, kami hanya dapat menyimpulkan bahawa kajian-kajian setakat ini menunjukkan tapentadol tidak kurang atau lebih berkesan dan tidak lebih atau kurang diterima berbanding morfin dan oksikodon.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save