Aspirin dan ubat antiradang bukan steroid lain untuk pencegahan demensia

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk melihat jika aspirin dan ubat-ubatan antiradang bukan steroid (NSAID) lain dapat membantu dalam pencegahan demensia.

Latar belakang

Demensia adalah satu kebimbangan dalam penjagaan kesihatan seluruh dunia. Pada masa ini, tidak ada ubat-ubatan yang terbukti dapat melambatkan atau mencegah permulaan demensia. Biologi demensia masih kurang difahami. Namun, terdapat sebab untuk mempercayai bahawa keradangan mungkin bertanggungjawab sebahagiannya terhadap beberapa perubahan otak yang dilihat pada demensia. Terdapat banyak ubat yang mempunyai sifat antiradang, termasuk aspirin dan NSAID yang sering dijual sebagai ubat pelega kesakitan. Pengulas ingin melihat jika ubat-ubatan ini mempunyai kesan terhadap perkembangan demensia. Ubat-ubatan ini mempunyai beberapa kesan sampingan yang berpotensi, termasuk serangan jantung dan pendarahan, jadi pengulas juga menilai kesan buruk ubat-ubatan tersebut.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2020. Mereka menemui empat kajian yang memenuhi kriteria penyertaan untuk ulasan ini (23,187 orang). Satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan Australia, dan tiga di Amerika Syarikat sahaja. Kajian tersebut merangkumi populasi yang berbeza. Salah satunya adalah aspirin pada orang yang sihat tanpa sejarah demensia, penyakit kardiovaskular atau kecacatan fizikal. Tiga yang lain adalah NSAID selain aspirin dan dijalankan pada orang yang sihat dengan riwayat keluarga penyakit Alzheimer, orang dengan kehilangan ingatan pelaoran kendiri dan orang dengan gangguan kognitif ringan (sedikit tetapi ketara dan dapat diukur penurunannya dalam kemampuan kognitif, termasuk memori dan kemahiran berfikir). Semua kajian yang disertakan mempunyai batasan. Kajian aspirin dihentikan lebih awal kerana tidak berkesan. Tiga kajian NSAID lain (celecoxib, naproxen dan rofecoxib) dihentikan lebih awal kerana kebimbangan berkaitan dengan keselamatan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kajian aspirin mendapati bahawa aspirin dos-rendah (100 mg setiap hari) tidak mencegah demensia pada orang tua yang sihat, tetapi mengakibatkan kadar kematian dan perdarahan yang lebih tinggi berbanding dengan plasebo (tablet bukan sebenar). Pengulas sangat yakin dengan keputusan ini. Kajian NSAID tidak menemui bukti perbezaan antara NSAID dan plasebo dalam hal mengurangkan bilangan orang yang mengalami demensia. Sebenarnya, dalam salah satu kajian, lebih banyak orang mengalami demensia dalam kumpulan NSAID. Salah satu kajian NSAID yang disertakan melaporkan lebih banyak perdarahan perut dan yang lain melaporkan masalah perut yang lain, seperti sakit, mual dan gastritis. Kesan sampingan lain adalah serupa antara kumpulan. Pengulas secara sederhana yakin pada kebanyakan hasil terhadap NSAID.

Kesimpulan

Ulasan ini tidak menemui bukti yang menyokong penggunaan aspirin atau NSAID lain untuk pencegahan demensia dan, sebenarnya, terdapat beberapa cadangan bahawa mereka boleh menyebabkan kemudaratan. Kajian ini mempunyai batasan, tetapi, mengutarakan kebimbangan terhadap keselamatan, kajian lebih lanjut mengenai aspirin dos-rendah untuk pencegahan demensia nampaknya tidak mungkin. Sekiranya kajian masa depan NSAID untuk pencegahan demensia dirancang, maka mereka perlu diletakkan dalam fikiran kebimbangan keselamatan yang timbul daripada kajian yang termasuk dalam ulasan ini dan daripada kajian lain mengenai ubat yang sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information