Adakah lebih baik menambah antagonis muskarinik bertindak lama atau agonis beta 2 bertindak lama kepada kortikosteroid sedutan untuk pesakit dengan asma yang tidak terkawal?

Perkara utama

Perbezaan antara antagonis muskarinik bertindak lama (LAMA) dan agonis beta 2 bertindak lama (LABA) kebanyakannya adalah kecil atau tidak pasti, berdasarkan kajian yang bertempoh kurang dari enam bulan. Bukti semasa tidak cukup kukuh untuk menyokong penggunaan LAMA dan bukannya LABA untuk orang dengan asma tidak dikawal oleh kortikosteroid sedutan.

Mengapakah soalan ini penting?

Pesakit dengan asma yang tidak dikawal dengan baik sering mengalami serangan yang memerlukan rawatan dan masa tambahan di hospital.

LABA adalah ubat sedutan yang dapat memperbaik gejala dan mengurangkan kemungkin serangan asma apabila kortikosteroid sedutan sahaja tidak membantu, tetapi ianya boleh memberi kesan sampingan yang serius. LAMA, sejenis lagi ubat sedutan yang telah digunakan untuk penyakit paru-paru lain, adalah pilihan rawatan yang baru untuk kumpulan pesakit dengan asma.

Bagaimana kami menjawab soalan tersebut?

Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan LAMA dengan LABA, kedua-duanya disertakan dengan kortikosteroid sedutan selama sekurang-kurangnya 12 minggu. Dua orang memeriksa semua kemungkinan kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan yang kami dapati dari beberapa pangkalan data dan laman sesawang, untuk mencari senarai kajian yang meneliti soalan yang kami selidiki. Carian terbaru telah dilakukan pada April 2015.

Apakah yang kami dapati?

Kami tidak tahu sama ada orang yang mengambil LAMA adalah lebih atau kurang cenderung untuk perlukan kortikosteroid oral untuk serangan asma berbanding orang yang mengambil LABA kerana tidak ramai orang yang perlukannya dan kajian menunjukkan keputusan yang berbeza; secara keseluruhannya tambahan tiga orang daripada 1000 orang mungkin mengalami serangan asma pada LAMA, tetapi keputusan sebenarnya mungkin berkurang di antara 29 orang dan bertambah 61 orang berbanding jika mengambil LABA. Begitu juga, adalah terlalu sedikit pesakit dalam kajian-kajian ini yang mendapat kesan sampingan serius atau serangan asma yang perlukan rawatan perubatan segera untuk menilai sama ada satu rawatan adalah lebih baik daripada yang satu lagi.

Kajian-kajian menunjukkan LAMA mungkin sedikit lebih baik berbanding LABA untuk fungsi paru-paru (berapa baik paru-paru anda berfungsi), dan kumpulan LABA mungkin sedikit lebih baik untuk kualiti hidup, tetapi perbezaannya adalah kecil dan kami tidak dapat menentukan sama ada satu rawatan lebih baik daripada yang satu lagi untuk kebanyakan hasil.

Keputusan-keputusan kebanyakannya berdasarkan empat kajian yang baik dalam kalangan 2000 orang, yang berlangsung antara 14 dan 24 minggu. Semua kajian ini melihat kepada ubat LAMA yang dipanggil tiotropium.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information