Monoterapi ubat-ubatan antiepileptik untuk epilepsi: satu rangkaian meta-analisis data peserta individu

Latar belakang

Epilepsi ialah gangguan saraf yang lazim di mana pelepasan elektrik tidak normal dari otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi dalam ulasan ini: sawan separa yang bermula di satu kawasan otak dan sawan tonik-klonik umum yang bermula di kedua-dua hemisfera otak secara serentak.

Kira-kira 70% daripada penghidap sawan epilepsi boleh dikawal, dan untuk kebanyakannya, sawan dikawal dengan ubat antiepileptik tunggal. Kini di UK, garis panduan Institut Kesihatan dan Penjagaan Cemerlang (NICE) untuk orang dewasa dan kanak-kanak mengesyorkan carbamazepine atau lamotrigine sebagai pilihan rawatan pertama untuk dicuba bagi individu yang baru didiagnos sawan separa dan sodium valproate untuk individu yang baru didiagnos sawan tonik-clonic umum; namun, terdapat pelbagai jenis rawatan ubat antiepileptik lain boleh didapati.

Pilihan ubat antiepileptik pertama bagi seseorang individu yang baru didiagnosis dengan sawan amat penting dan harus mengambil kira bukti yang berkualiti tinggi tentang keberkesanan ubat-ubatan dalam mengawal sawan dan sama ada ianya dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan. Adalah penting ubat-ubatan yang sesuai untuk pelbagai jenis sawan yang berbeza dibanding dengan satu sama lain.

Kaedah ulasan

Ubat-ubatan antiepileptik dalam ulasan ini adalah carbamazepine, phenytoin, sodium valproate, phenobarbitone, oxcarbazepine, lamotrigine, gabapentin, topiramate, levetiracetam, zonisamide. Dalam ulasan ini, kami menilai bukti daripada 77 kajian rawak terkawal klinikal yang membandingkan dua atau lebih ubat-ubatan berdasarkan keberkesanan ubat-ubatan tersebut mengawal sawan (iaitu sama ada orang-orang yang ada sawan berulang atau telah lama tempoh bebas dari sawan (remisi)) dan bagaimana kesan-kesan sampingan ubat-ubatan tersebut boleh diterima. Kita dapat menggabungkan data bagi 12,391 orang dari 36 daripada 77 kajian; untuk baki 5570 orang daripada 41 kajian, data tidak didapati untuk diguna dalam ulasan ini.

Kami telah melakukan dua jenis analisis dalam ulasan ini; pertama kami menggabungkan data sedia ada di mana pasangan ubat-ubatan telah dibandingkan secara langsung dalam kajian klinikal dan kedua kami telah melakukan analisis untuk menggabungkan semua maklumat dari kajian klinikal di seluruh 'rangkaian' 10 ubat . Analisis ini membolehkan kami membandingkan ubat dalam rangkaian yang sebelum ini belum dibandingkan antara satu sama lain dalam kajian klinikal.

Keputusan utama

Daripada 45 gabungan pasangan perbandingan 10 ubat-ubatan yang mungkin dalam ulasan ini, data dari kajian klinikal hanya tersedia untuk separuh daripada perbandingan-perbandingan tersebut namun untuk kebanyakan yang lain, hanya satu kajian telah membuat perbandingan dua ubat-ubatan dan perbandingan itu tidak melibatkan ramai orang.

Analisis 'rangkaian' kami menunjukkan bahawa ubat-ubatan yang tertua dalam rangkaian (phenobarbitone dan phenytoin) adalah pilihan yang lebih baik dari segi kawalan sawan berbanding ubat-ubatan lain tetapi ubat-ubatan tertua ini adalah yang paling teruk dari segi pengekalan jangka panjang (menarik diri daripada rawatan) berbanding dengan ubat-ubatan yang lebih baru seperti lamotrigine dan levetiracetam.

Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan bagi semua ubat-ubatan adalah mengantuk atau keletihan, sakit kepala atau migrain, gangguan gastrousus (gangguan perut), pening atau pitam dan ruam atau gangguan kulit.

Kualiti bukti

Ulasan ini menyediakan bukti yang berkualiti tinggi bagi individu yang mempunyai sawan separa dan kualiti bukti sederhana hingga tinggi untuk individu-individu yang mempunyai sawan umum tonik-klonik, kerana kurangnya maklumat sedia ada untuk beberapa ubat-ubatan daripada orang-orang dengan sawan jenis ini.

Kesimpulan

Keputusan ulasan ini menyokong garis panduan NICE bahawa carbamazepine dan lamotrigine adalah rawatan pilihan pertama yang sesuai untuk individu-individu yang mengalami sawan separa dan juga menunjukkan levetiracetam adalah rawatan yang juga sesuai. Keputusan ulasan ini juga menyokong penggunaan sodium valproate sebagai rawatan utama untuk individu yang mengalami sawan umum tonik-klonik dan juga menunjukkan lamotrigine dan levetiracetam sebagai alternatif yang sesuai, terutamanya bagi mereka yang hamil atau mempertimbangkan untuk hamil, yang mana sodium valproate mungkin bukan pilihan rawatan sesuai.

Adakah ulasan ini terkini?

Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 27 Julai 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save