Anestesia intravena atau sedutan untuk pembedahan abdomen yang dibantu oleh robot kawalan komputer

Ulasan ini menilai anestesia yang diberikan untuk pembedahan abdomen yang dibantu oleh robot kawalan komputer sama ada melalui vena atau disedut ke dalam paru-paru (sedutan).

Soalan ulasan

Apakah kelebihan dan kekurangan dalam menggunakan anestesia yang disuntik ke dalam vena berbanding anestesia yang disalurkan ke paru-paru bagi pembedahan abdomen bantuan robot, dengan tumpuan kepada menangani kesakitan, loya dan muntah, kesan buruk dan kos yang berkaitan?

Latar belakang

Pembedahan abdomen yang dibantu robot kawalan komputer dikaitkan dengan kurang pendarahan dan kurang trauma pembedahan disebabkan belahan yang kecil. Dengan peningkatan pesat penggunaan pembedahan robotik berkomputer telah datang keperluan untuk menilai semula dua jenis utama pemberian anestesia. Pembedahan bantuan robot memerlukan pesakit diletakkan dalam posisi yang berbeza semasa prosedur dan kemasukan gas karbon dioksida ke dalam rongga abdomen untuk mewujudkan gambaran yang lebih baik. Faktor-faktor ini boleh mempengaruhi fungsi jantung dan paru-paru serta boleh mengubah tekanan di dalam otak dan mata, dengan risiko kesan buruk.

Ciri-ciri kajian

Buktinya adalah terkini hingga Mei 2016 dan disediakan oleh tiga kajian rawak terkawal yang kecil melibatkan 170 lelaki yang telah dibuang prostat. Kajian-kajian ini dijalankan di Korea dan Turki. Kami mencari perbezaan dari segi kesakitan, loya dan muntah selepas pembedahan (PONV) dan perubahan tekanan dalam mata antara pesakit yang menerima anestesia melalui vena berbanding sedutan.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian telah dibiayai oleh institusi, atau sumber pembiayaan tidak dinyatakan.

Keputusan utama

Kesakitan selepas pembedahan tidak berbeza antara kedua-dua jenis anestesia. Anestesia yang diberikan melalui vena mengurangkan PONV satu hingga enam jam selepas pembedahan prostat berbanding dengan anestesia yang diberikan secara sedutan. Satu kajian menunjukkan bahawa anestesia yang disuntik ke dalam vena menghalang peningkatan tekanan dalam mata semasa pembedahan berbanding dengan anestesia sedutan. Kami tidak dapat merumuskan bahawa ini bermakna anestesia yang disuntik ke dalam vena dapat mengurangkan komplikasi okular, kerana tiada pesakit di dalam kajian kecil ini yang mengalami komplikasi tersebut.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dianggap rendah, kerana kajian yang disertakan adalah kecil dan tidak memberikan penerangan yang jelas mengenai kaedah kajian. Semua peserta di dalam kajian ini adalah lelaki yang menjalani pembuangan prostat laparoskopik bantuan robot. Sebuah kajian sedang berlangsung melibatkan lelaki dan wanita yang menjalani pembedahan robotik abdomen, juga menumpukan kepada kualiti pemulihan. Lebih banyak kajian adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information