Ubat-ubat yang mencegah pendarahan dalam kalangan pesakit hemofilia atau Von Willebrand yang menjalani pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti sama ada ubatan antifibrinolitik (ubat yang menggalakkan pembekuan darah) seperti asid tranexamic atau asid epsilon aminocaproic dapat mencegah pendarahan oral dalam kalangan pesakit hemofilia atau Von Willebrand yang menjalani pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu.

Latar belakang

Hemofilia dan penyakit Von Willebrand adalah penyakit pendarahan yang diwarisi. Orang dengan penyakit ini lebih berisiko untuk komplikasi pendarahan semasa dan selepas pembedahan mulut atau cabutan gigi, walaupun prosedur adalah kecil dan lazim dilakukan. Bilangan dan keterukan pendarahan bergantung kepada faktor berkaitan penyakit (misalnya keterukan hemofilia), faktor berkaitan pesakit (misalnya penyakit keradangan gusi dan salur darah) dan faktor berkaitan intervensi (misalnya jenis dan bilangan gigi yang dicabut atau keluasan permukaan luka). Langkah-langkah seperti pemberian faktor pembekuan darah secara terus ke dalam aliran darah lazim digunakan sebelum, semasa dan selepas pembedahan untuk mencegah komplikasi perdarahan. Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini agak mahal dan berisiko misalnya pembentukan perencat dan transmisi jangkitan. Oleh itu, adalah penting untuk mencari kaedah alternatif bagi mencegah komplikasi pendarahan. Dalam amalan rutin, ubat antifibrinolitik sering digunakan sebelum, semasa dan selepas pembedahan, Walau bagaimanapun, pada masa ini, tiada bukti saintifik yang jelas untuk amalan ini.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 01 Mac 2019

Ciri-ciri kajian

Kami tidak mendapati sebarang kajian ubat antifibrinolitik untuk mencegah pendarahan selepas pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi dalam kalangan mereka dengan penyakit Von Willebrand. Ulasan ini memasukkan dua kajian yang diterbitkan pada 1970an dalam kalangan 59 pesakit hemofilia yang menjalani cabutan gigi. Dalam satu kajian, peserta berumur 13 hingga 65 tahun dan dalam kajian kedua, purata umur peserta adalah 34 tahun. Satu kajian berdurasi lima hari dan menggunakan asid tranexamic; kajian kedua selama 10 hari dan menggunakan asid epsilon aminocaproic. Kedua-dua kajian membandingkan ubatan aktif dengan plasebo sebagai tambahan kepada faktor pembekuan darah.

Keputusan utama

Secara keseluruhan, kedua-dua kajian menunjukkan pengurangan pendarahan selepas cabutan gigi, kuantiti darah yang hilang dan keperluan faktor pembekuan dalam kalangan mereka yang dirawat dengan asid tranexamic atau asid epsilon aminocaproic berbanding mereka yang diberi plasebo. Apabila keputusan kedua-dua kajian digabungkan, laporan menunjukkan bahan ubatan antifibrinolitik mengurangkan separuh kadar pendarahan selepas cabutan gigi. Kesan sampingan ubatan antifibrinolitik jarang berlaku dan menyebabkan pemberhentian penggunaan asid aminocaproic dalam hanya satu kes.

Kualiti bukti

Dalam kajian asid epsilon aminocaproic, doktor kajian mengagihkan setiap orang untuk menerima plasebo atau rawatan aktif berdasarkan teknik berpadanan-pasangan untuk umur, faktor-pencerakinan dan bilangan cabutan. Langkah pengagihan plasebo atau rawatan aktif yang dibuat oleh doktor kajian ini mungkin menimbulkan bias dalam pemilihan. Walau bagaimanapun, kami tidak fikir kesan ini memberi impak besar terhadap rumusan kajian. Secara keseluruhan, kedua-dua kajian adalah kecil dan berbeza antara satu sama lain dari segi bilangan peserta yang mengidap hemofilia serius, penggunaan faktor pembekuan serentak dan jadual rawatan antifibrinolitik yang berbeza. Kami menilai kualiti bukti keseluruhan sebagai rendah bagi penggunaan ubatan antifibrinolitik untuk mencegah pendarahan dalam kalangan pesakit hemofilia selepas pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi. Tiada bukti diperolehi untuk mereka dengan penyakit Von Willebarnd. Namun, ia boleh dihujah jika ubat antifibrinolitik berkesan untuk pesakit hemofilia, ia mungkin juga berkesan untuk pesakit pendarahan lain yang menjalani cabutan gigi atau pembedahan kecil mulut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save