Penggunaan ultrasound untuk kemasukan kateter arteri untuk kanak-kanak

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Kateter arteri adalah tiub nipis yang boleh dimasukkan ke arteri. Kateter arterial digunakan untuk memantau tekanan darah semasa pembedahan kompleks atau semasa menjalani rawatan intensif. Pengimejan ultrasonografi (imej yang dicipta dengan gelombang bunyi tisu lembut) memudahkan anestesiologi dan intensivis melihat struktur sekitarnya. Ultrasound boleh membantu pengamal perubatan mencari arteri dan memasukkan kateter dengan tepat, dan, terutamanya apabila pembedahan membabitkan kanak-kanak, ultrasound boleh mengurangkan keperluan berbilang jarum. Ini mengurangkan kejadian hematoma (koleksi darah di luar saluran darah) atau kecederaan pada arteri, berbanding dengan teknik lain seperti palpasi arteri (rasa melalui kulit untuk nadi) atau bantuan pendengaran Doppler (mendengar pertukaran ke padang yang lebih tinggi di lokasi sebenar arteri). Matlamat kami adalah untuk mengetahui sama ada ultrasound menawarkan kelebihan berbanding sentuhan nadi arteri atau bantuan pendengaran Doppler.

Ciri-ciri Kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2016. Kami mendapati lima kajian yang layak - empat membandingkan ultrasound dengan sentuhan nadi dan satu membandingkan ultrasound dengan bantuan pendengaran Doppler.

Keputusan Utama

Kanak-kanak berusia satu bulan hingga 18 tahun dirangkumkan dalam ulasan. Kami mendapati bahawa ultrasound meningkatkan kadar kannulasi yang berjaya pada percubaan pertama dan mengurangkan pembentukan hematomas. Ultrasound juga meningkatkan kadar kejayaan dalam dua percubaan. Kajian mendapati kemungkinan ultrasound lebih berguna untuk bayi dan kanak-kanak kecil dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih tua. Ia juga bermungkinan ultrasound lebih berguna jika pengamal berpengalaman digunakan.

Kualiti bukti kajian

Kami mendapati variasi dalam risiko bias kajian yang disertakan. Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana terutamanya kerana bilangan kajian adalah terhad. Atas sebab yang sama, kami tidak dapat mengesahkan kesan usia dan kepakaran dalam penggunaan ultrasound.

Kesimpulan

Kajian bukti kami menunjukkan bahawa penggunaan ultrasound adalah lebih baik daripada teknik lain untuk kemasukan kateter arteri, terutama pada bayi dan anak kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Mediine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.m