Adakah maklumat bertulis mengurangkan penggunaan antibiotik untuk jangkitan saluran pernafasan atas di kalangan orang yang dirawat dalam tetapan penjagaan primer?

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada maklumat bertulis mengurangkan penggunaan antibiotik untuk jangkitan saluran pernafasan atas akut (selsema, sakit tekak, batuk atau sakit telinga).

Latar belakang

Kebanyakan selsema, sakit tekak, batuk dan sakit telinga berpunca daripada virus. Walaupun antibiotik tidak berkesan terhadap virus, ia kadangkala masih diberikan. Kami ingin mengetahui sama ada pemberian maklumat bertulis tentang antibiotik sejurus sebelum atau semasa lawatan doktor, bersama-sama dengan penjagaan biasa, mengubah penggunaan antibiotik berbanding dengan amalan biasa doktor atau sesuatu yang lain. Kami juga ingin mengetahui sama ada: pesakit lebih berkemungkinan untuk kembali kepada doktor mereka; gejala bertambah baik dengan lebih cepat; pengetahuan pesakit tentang antibiotik akan bertambah baik; pesakit berpuas hati dengan penjagaan doktor mereka; dan jika komplikasi berlaku.

Tarikh carian

Kami mencari kesusasteraan sehingga Julai 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati dua kajian yang memasukkan kanak-kanak dengan jangkitan saluran pernafasan atas: satu melibatkan 558 kanak-kanak yang direkrut daripada 61 amalan am di England dan Wales; serta satu lagi daripada 269 doktor yang memberikan data mengenai 33,792 perundingan pesakit-doktor di Kentucky, USA. Peserta adalah kanak-kanak yang ditemani oleh peneman dewasa. Satu kajian melatih pengamal am (GP) untuk membincangkan maklumat bertulis dengan ibu bapa, dan dalam kajian lain, doktor mengedarkan salinan risalah tajaan kerajaan kepada ibu bapa.

Sumber pembiayaan kajian

Kedua-dua kajian itu dibiayai oleh badan kerajaan dan satu dibiayai oleh Pfizer (sebuah syarikat farmaseutikal).

Hasil utama

Penyediaan buku kecil dan penerangan oleh doktor yang terlatih khas mengurangkan bilangan antibiotik yang diambil oleh kanak-kanak sebanyak 20% (daripada 42% kepada 22%) tanpa mempengaruhi kepuasan ibu bapa dengan perundingan atau bilangan lawatan ulangan untuk penyakit yang sama. Berbanding dengan amalan biasa doktor, dua kajian menunjukkan bahawa menyediakan buku kecil mengurangkan bahagian kanak-kanak yang diberi antibiotik sebanyak 9% hingga 21%. Apabila doktor juga diberi maklum balas tentang preskripsi antibiotik mereka bersama-sama dengan menyediakan buku kecil kepada ibu bapa, perkadaran kanak-kanak diberi antibiotik meningkat sebanyak 6% (daripada 44% kepada 50%). Tiada kajian yang disertakan menilai sama ada orang diberikan maklumat yang lebih baik, berapa lama gejala berlarutan, atau jika mereka mengalami komplikasi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah. Doktor dan ibu bapa tahu apabila maklumat bertulis telah digunakan. Satu kajian mempunyai risiko bias yang tinggi kerana kumpulan kajian tidak setanding pada garis dasar, oleh itu kami boleh kurang yakin dengan penemuannya.

Kajian ditetapkan di UK dan USA, keputusannya tidak boleh digunakan untuk negara berpendapatan rendah, ataupun untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan primer yang berbeza, termasuk tetapan di mana preskripsi tidak diperlukan untuk mendapatkan antibiotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information