Sejauh manakah keberkesanan cara yang berlainan dalam membantu orang yang hidup dengan HIV berhenti menggunakan tembakau, dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

• Varenicline (ubat yang mengurangkan keinginan untuk nikotin) apabila dibandingkan dengan plasebo (pil palsu), mungkin membantu orang yang hidup dengan HIV yang merokok tembakau untuk berhenti merokok selama enam bulan atau lebih, dan mungkin tidak meningkatkan kebarangkalian mengalami kesan tidak diingini yang serius.

• Kami tidak tahu sama ada kaedah lain yang digunakan untuk membantu orang berhenti menggunakan tembakau dapat membantu orang yang hidup dengan HIV untuk berhenti selama enam bulan atau lebih kerana kami tidak menemui maklumat yang mencukupi.

• Kajian akan datang harus lebih besar dan memberikan maklumat mengenai kejadian tidak diingini yang serius.

Mengapa penggunaan tembakau di kalangan orang yang hidup dengan HIV merupakan masalah?

Ramai orang yang hidup dengan HIV di seluruh dunia menggunakan tembakau, iaitu daun tumbuhan tembakau dan produknya, misalnya melalui merokok, mengunyah, menghisap atau menghidu. Penggunaan tembakau menyebabkan pebagai masalah kesihatan dan banyak kematian, tetapi orang menjadi ketagih kepada nikotin di dalam tembakau, dan merasa sukar untuk berhenti. Kadar merokok adalah kira-kira empat kali lebih tinggi dalam kalangan orang yang hidup dengan HIV berbanding populasi umum. Malangnya, walaupun dengan akses kepada rawatan HIV yang berkesan, orang yang hidup dengan HIV boleh kehilangan kira-kira 12 tahun daripada hidup mereka kerana merokok - lebih daripada dua kali ganda bilangan tahun yang mereka mungkin hilang kerana jangkitan HIV sendiri.

Bagaimanakah orang yang hidup dengan HIV boleh berhenti menggunakan tembakau?

Kaedah yang digunakan untuk membantu orang berhenti menggunakan tembakau termasuk ubat-ubatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT), varenicline dan cytisine (ubat-ubatan yang mengurangkan keinginan untuk nikotin) dan bupropion (antidepresan). Kaedah lain termasuk terapi tingkah laku seperti maklumat mengenai risiko merokok (nasihat ringkas), atau kaunseling individu atau berkumpulan (sokongan tingkah laku). Sesetengah perkhidmatan kesihatan cuba mengubah cara mereka menyampaikan penjagaan (perubahan sistem). Tidak jelas sama ada intervensi-intervensi ini dapat membantu orang yang hidup dengan HIV berhenti menggunakan tembakau.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mencari kaedah terbaik untuk membantu orang yang hidup dengan HIV berhenti menggunakan tembakau, dan melihat sama ada terdapat kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat kaedah berhenti yang menyasarkan secara langsung kepada orang dewasa yang didiagnosa dengan HIV. Termasuk juga, kajian mengenai perubahan sistem, yang menyasarkan kepada orang yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan, atau kakitangan penjagaan kesihatan yang bekerja di fasiliti ini. Kajian boleh membandingkan kaedah berhenti dengan plasebo (palsu) atau tanpa rawatan, atau kaedah lain. Kami hanya memasukkan kajian yang menyelidik pemberhentian tembakau selama enam bulan atau lebih lama. Sebaik-baiknya, pemberhentian harus disahkan dengan ujian kimia. Kami juga ingin mengetahui sama ada kaedah berhenti menyebabkan kesan tidak diingini yang serius.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 17 kajian dengan 9959 orang. Dua belas kajian adalah di Amerika Syarikat. Lima belas kajian menyelidik pemberhentian merokok, sama ada individu atau berkumpulan. Dua kajian menilai perubahan dalam cara penjagaan disampaikan kepada orang yang hidup dengan HIV yang menghadiri fasiliti kesihatan.

Sokongan tingkah laku atau perubahan sistem berbanding tanpa sokongan tingkah laku atau sokongan tingkah laku kurang intensif
• Tidak terdapat bukti jelas bahawa sokongan tingkah laku lebih berkesan untuk memberhentikan tembakau berbanding nasihat ringkas atau tanpa sokongan (7 kajian, 2314 orang).

• Mengubah proses talian bantuan berhenti daripada merujuk pesakit ke talian bantuan berhenti melalui faks kepada menghubungi talian bantuan berhenti dan memindahkan panggilan kepada pesakit semasa mereka masih berada di hospital tidak menunjukkan bukti jelas mengenai kadar berhenti yang lebih baik (1 kajian, 25 orang).

• Tiada kajian dalam perbandingan ini yang menilai kesan tidak diingini yang serius.

Ubat-ubatan untuk memberhentikan tembakau berbanding plasebo, tanpa ubat atau jenis ubat lain
• Varenicline mungkin membantu orang yang hidup dengan HIV untuk berhenti merokok berbanding dengan plasebo (2 kajian, 427 peserta).

• Kajian tunggal menyelidik sokongan tingkah laku beserta NRT berbanding dengan nasihat ringkas, sokongan tingkah laku beserta NRT berbanding dengan sokongan tingkah laku sahaja, varenicline berbanding dengan NRT, dan cytisine berbanding dengan NRT. Bukti tidak menunjukkan bahawa mana-mana kaedah ini membantu orang berhenti menggunakan tembakau.

• Mungkin tidak ada lebih banyak kesan yang tidak diingini dengan varenicline berbanding plasebo (2 kajian, 427 peserta). Mungkin tidak terdapat perbezaan dalam jumlah orang yang mengalami kesan tidak diingini yang serius antara sokongan tingkah laku beserta NRT dan sokongan tingkah laku sahaja (1 kajian, 560 orang). Tiada kajian yang menilai kesan tidak diingini yang serius untuk sokongan tingkah laku beserta NRT berbanding nasihat ringkas, varenicline berbanding NRT, dan cytisine berbanding NRT.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan keseluruhan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah, terutamanya kerana tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusan, dan kadang-kadang kami tidak mempunyai semua maklumat yang kami perlukan untuk menilai kualiti kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information