Rawatan gag (tersedak) dalam kalangan pesakit pergigian

Soalan ulasan

Dengan Ulasan Cochrane ini kami cuba untuk mencari cara terbaik menguruskan gag (tersedak) dalam kalangan orang yang menjalani rawatan pergigian.

Latar belakang

Refleks gag (tersedak) adalah mekanisme normal untuk melindungi tekak dan saluran udara dari objek asing dan mencegah tercekik. Ramai orang mengalami refleks gag yang berlebihan menyebabkan kesukaran semasa rawatan pergigian. Ini boleh menyukarkan atau mustahil untuk melaksanakan rawatan. Intervensi yang diguna untuk mengendali gag termasuk ubat anti-loya, sedatif, anestetik umum dan lokal, remedi herba, terapi tingkah laku dan terapi tingkah laku kognitif, akutekanan, akupunktur dan peranti prostetik.

Kami ingin tahu keberkesanan dan keselamatan intervensi-intervensi tersebut dalam membantu orang melengkapkan rawatan pergigian mereka dengan kurang gag. Kami membandingkan intervensi dengan tiada intervensi atau plasebo atau intervensi lain.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga 18 Mac 2019. Kami memasukkan empat kajian dengan 328 orang (263 dewasa dan 65 kanak-kanak yang berumur 4 tahun atau lebih). Mereka mengalami loya sebelum ini apabila menjalani rawatan pergigian yang menyebabkan rawatan dihentikan atau tidak dijalankan dengan betul.

Keputusan utama

Akupunktur di titik P6 (titik yang terletak di bahagian dalam pergelangan tangan) menunjukkan kejayaan menyelesaikan rawatan pergigian dan pengurangan gag berbanding akupunktur sham (palsu). Intervensi yang sama dengan sedasi tidak menunjukkan perbezaan.

Akutekanan (dengan ibu jari atau jalur ‘sea’ (jalur yang muat di sekeliling pergelangan tangan seperti jalur peluh dengan stad tekanan dijahit di bahagian dalam)) pada titik P6 dengan atau tanpa sedasi tidak menunjukkan sebarang perbezaan apabila dibandingkan dengan akutekanan sham. Akutekanan pada titik P6 dengan peranti menunjukkan perbezaan dalam melengkapkan rawatan pergigian dan pengurangan gag. Ia tidak menunjukkan perbezaan apabila digabung dengan sedasi.

Laser di titik P6 menunjukkan perbezaan dalam ketiadaan gag dan pengurangan gag semasa rawatan pergigian berbanding dengan aplikasi laser sham.

Kajian-kajian yang disertakan tidak melaporkan sebarang kesan mudarat penting rawatan.

Kepastian bukti

Tahap boleh percaya dalam penemuan-penemuan ini adalah sangat rendah. Ini adalah disebabkan oleh risiko bias yang tidak jelas dan bilangan kecil orang yang dikaji di dalam empat ujian yang dirmasukkan.

Kesimpulan

Kami tidak ada bukti yang cukup untuk menyatakan intervensi yang mana satu berkesan lebih baik untuk menguruskan gag dalam kalangan orang yang menjalani rawatan pergigian. Kami mencadangkan lebih banyak kajian yang dikendali dengan baik perlu dilakukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save