Pengendalian gag dalam pesakit pergigian

Soalan sorotan

Soalan utama yang diaju oleh ulasan Cochrane ini: Adakah terdapat bukti tentang pelbagai cara mengendali gag bagi pesakit yang menjalani rawatan pergigian?

Latarbelakang

Refleks gag adalah mekanisme normal untuk melindungi tekak dan saluran udara dari objek asing. Ramai orang menunjukkan lebih refleks gag yang merumitkan rawatan pergigian, adakala menyukarkan atau tidak membolehkan rawatan dibuat.Intervensi yang diguna untuk mengendali gag termasuk ubat anti-loya, sedatif, anestetik umum dan lokal, remedi herba, terapi tingkahlaku dan terapi tingkahlaku kognitif, akutekanan, akupunktur dan peranti prostetik.

Kami ingin mengetahui keberkesanan dan keselamatan intervensi tersebut berbanding tiada intervensi atau plasebo atau berbanding intervensi lain dalam membantu pesakit menjalani prosedur pergigian dengan jayanya dan mengurangkan keterukan gag.

Ciri kajian

Kami membuat carian sehingga 7 April 2015.Kami memasukkan satu kajian yang melibatkan 33 orang dewasa yang berpengalaman loya semasa prosedur pergigian yang lalu yang menghalang rawatan pergigian diteruskan dengan lancar.

Keputusan utama

Keputusan tidak menunjukkan perbezaan di antara akupunktur pada paras P6 (Perikardium 6 - terletak di permukaan depan lengan) dan akupunktur sham dapat mengurangkan gag atau membolehkan prosedur pergigian disempurnakan dengan jayanya.Tiada kesan sampingan penting dilaporkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk untuk menyiapkan prosedur pergigian dengan jayanya dan pengurangan gag adalah rendah, akibat risiko bias yang kurang jelas dan bilangan kecil peserta yang terlibat dalam kajian. Oleh itu, kami tidak dapat bergantung kepada keputusan kajian ini.

Rumusan

Bukti semasa yang sedia ada tidak membolehkan kami merumus dengan tepat berkenaan dengan kesan intervensi yang diguna untuk mengendali gag dalam kalangan pesakit pergigian. Kajian yang lebih baik rekabentuknya dan kajian dengan laporan yang baik yang menilai pelbagai intervensi diperlukan untuk menyokong keputusan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save