Fulvestrant untuk rawatan wanita selepas menopaus dengan kanser payudara sensitif hormon peringkat teruk

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti mengenai keberkesanan dan keselamatan fulvestrant dalam memanjangkan tempoh tanpa perkembangan lanjut kanser dalam kalangan wanita dengan kanser payudara sensitif hormon peringkat teruk. Kami mendapati sembilan kajian yang menyelidik sama ada fulvestrant lebih baik atau tidak berbanding pilihan rawatan lain.

Latar belakang

Tujuh puluh peratus daripada kanser payudara adalah sensitif terhadap hormon, dan terdapat pelbagai terapi endokrin yang mengurangkan atau menyekat hormon wanita untuk merawat kanser ini. Fulvestrant adalah salah satu daripada terapi endokrin yang boleh digunakan untuk merawat kanser payudara sensitif hormon dengan menyekat estrogen. Ia diberikan melalui suntikan bulanan kepada wanita dengan penyakit di peringkat teruk. Definisi penyakit teruk ialah apabila kanser primer di payudara telah sama ada merebak melibatkan banyak nodus limfa atau tumbuh sehingga saiz yang agak besar (peringkat III) ataupun apabila kanser tersebut telah merebak keluar dari payudara dan nodus limfa ke tisu atau organ lain, atau kedua-duanya (peringkat IV). Matlamat rawatan dalam keadaan sebegini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan simptom yang disebabkan kanser, dan memanjangkan jangka hayat. Adalah patut diberi perhatian bahawa kajian yang dinilai dalam ulasan ini kebanyakannya menggunakan dos fulvestrant yang lebih rendah (250 mg) berbanding dos yang kini standard, lebih berkesan, dan telah diluluskan iaitu sebanyak 500 mg.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 7 Julai 2015. Ulasan kami menemui sembilan kajian klinikal yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan fulvestrant dengan lain-lain rawatan standard untuk kanser payudara sensitif hormon peringkat larut, dan mengumpulkan data daripada kajian-kajian ini untuk menganalisa kesemua data secara keseluruhannya. Tiga terapi endokrin yang berbeza telah dianalisa sebagai perbandingan dengan fulvestrant. Dua daripada ubat-ubatan ini adalah perencat aromatase anastrozole dan exemestane, yang merendahkan paras estrogen dalam kalangan wanita selepas menopaus, dan yang ketiganya adalah tamoxifen, yang berfungsi dengan menyekat estrogen. Empat daripada kajian adalah dalam seting barisan pertama, yang bermaksud fulvestrant dibandingkan dengan terapi endokrin sebagai rawatan pertama untuk penyakit peringkat larut. Lima daripada kajian mengkaji fulvestrant sebagai seting barisan kedua atau lebih, yang bermaksud selepas wanita telah terdahulu menjalani rawatan awal untuk penyakit peringkat larut. Dua kajian mengkaji fulvestrant yang digabungkan dengan anastrozole dengan anastrozole sahaja, dan tujuh kajian yang lain membandingkan fulvestrant sahaja dengan ubat-ubatan lain.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa fulvestrant adalah sekurang-kurangnya berkesan seperti tiga terapi endokrin standard lain yang digunakan sebagai rawatan untuk kanser payudara sensitif hormon dan mungkin lebih berkesan pada dos standard baru sebanyak 500 mg, berbanding dos lebih rendah 250 mg, yang sebelumnya digunakan dan diuji dalam semua kajian yang disertakan kecuali satu. Kami juga mendapati bahawa menggabungkan fulvestrant dengan perencat aromatase tidak meningkatkan keberkesanannya, dan keberkesanan juga tidak dipengaruhi oleh sama ada fulvestrant digunakan sebagai rawatan pertama selepas diagnosis penyakit peringkat larut atau selepas terapi endokrin yang lain. Ini terbukti dalam analisa data terkumpul untuk kedua-dua jangka hayat tanpa perkembangan kanser dan kadar pengecutan atau penstabilan tumor akibat fulvestrant berbanding dengan terapi endokrin yang lain. Di samping itu, wanita yang dirawat dengan fulvestrant tidak mengalami kesan sampingan yang lebih teruk berbanding wanita yang menerima terapi endokrin lain, dan kualiti hidup adalah setara dalam kedua-dua wanita yang dirawat dengan fulvestrant dan terapi endokrin yang lain.

Oleh itu, fulvestrant boleh dianggap sebagai rawatan yang berkesan dan selamat untuk wanita selepas menopaus dengan kanser payudara sensitif hormon peringkat teruk, apabila rawatan dengan terapi endokrin diperlukan.

Kualiti bukti

Kesemua kajian adalah berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information