Mesej utama
- Jaundis adalah keadaan biasa untuk bayi baru lahir. Sekiranya dibiarkan tidak dikesan dan tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan kecederaan otak.
– Saringan bayi baru lahir dengan mengukur tahap jaundis melalui kulit (dipanggil saringan bilirubin transkutan) mungkin membawa kepada pengurangan kemasukan semula ke hospital untuk terapi cahaya dan lebih ramai bayi menjalani terapi cahaya sebelum keluar dari hospital. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan bayi yang memerlukan pemindahan darah pertukaran untuk merawat penyakit kuning mereka atau yang mengalami kecederaan otak awal.
- Kajian lanjut diperlukan untuk menyiasat kesan saringan bilirubin transkutan terhadap bayi baru lahir sebelum discaj hospital.
Apakah jaundis?
Jaundis merujuk kepada perubahan warna kekuningan pada kulit dan putih mata. Ia berlaku disebabkan peningkatan dalam pigmen darah dikenali sebagai bilirubin. Semasa tahap bilirubin dalam darah meningkat, ia akan disimpan dalam kulit dan mata, dan mengakibatkan mereka menjadi kuning. Jaundis adalah keadaan yang sangat biasa dalam bayi baru lahir. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini adalah tidak berbahaya dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, bayi baru lahir memerlukan rawatan dalam bentuk fototerapi (terapi cahaya) atau transfusi darah pertukaran (di mana sesetengah darah bayi baru lahir dikeluarkan dan digantikan dengan darah penderma). Tahap bilirubin yang sangat tinggi dalam darah (dikenali sebagai hiperbilirubinemia) boleh mengakibatkan kerosakan pada otak bayi baru lahir, mengakibatkan kecederaan kekal terhadap otak seperti cerebral palsy. Pengenalpastian awal jaundis adalah penting untuk membantu mencegah kesan-kesan yang tidak diingini.
Apakah saringan bilirubin transkutan?
Bilirubinometri transcutaneous adalah ujian untuk mengesan hiperbilirubinemia pada bayi baru lahir. Ia berfungsi dengan menghalakan cahaya ke dalam kulit bayi dan mengukur keamatan cahaya yang dikembalikan dengan menekan meter secara perlahan pada sternum (tulang dada) atau dahi. Ujian ini berjaya mengesan hiperbilirubinemia dalam bayi baru lahir, dan telah disyorkan sebagai alat saringan yang sesuai untuk hiperbilirubinemia untuk bayi baru lahir.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Dalam ulasan sistematik ini kami bertujuan untuk menilai keberkesanan saringan bilirubin transkutan berbanding dengan pemeriksaan visual untuk tahap jaundis tinggi dalam bayi baru lahir.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada penggunaan saringan bilirubin transkutan berbanding dengan pemeriksaan visual dalam bayi baru lahir sebelum mereka discaj daripada hospital. Kami telah merumus keputusan-keputusan dan menilai keyakinan dalam bukti-bukti yang diperolehi.
Apakah yang ingin kami temui?
Kami telah menyertakan satu kajian (1858 bayi) dalam ulasan ini. Kajian menemui kemasukan semula berkaitan jaundis ke hospital mungkin berkurang pada bayi baru lahir yang menerima saringan bilirubin transkutaneus untuk jaundis dibandingkan pemeriksaan visual. Tambahan pula, kami telah menemui bahawa kaedah saringan ini boleh tidak menjejaskan bilangan bayi baru lahir yang telah menjalani transfusi darah pertukaran, tetapi ia mungkintelah meningkatkan bilangan bayi baru lahir yang telah menerima terapi cahaya sebelum discaj. Kami juga menemui bahawa kaedah saringan tersebut berbanding dengan pemeriksaan visual untuk jaundis boleh mempunyai sedikit kesan keatas kadar kecederaan otak awal diakibatkan oleh jaundis.
Apakah batasan bukti?
Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk mengesahkan bahawa keputusan-keputusan tersebut sebelum pelaksanaan kaedah saringan transkutan bilirubin dalam bayi baru lahir. Walau bagaimanapun, kami mengakui bahawa ia adalah tidak mungkin bahawa kajian-kajian akan dikendalikan untuk menilai lebih lanjut tentang intervensi ini, terutamanya dalam negara-negara maju di mana kaedah ini telah digunakan secara meluas.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 21 Jun 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Bin Che Hamzah(USM).