Senaman pernafasan untuk kanak-kanak yang menghidap asma

Latar belakang

Asma adalah penyakit radang paru-paru yang kronik (berterusan) yang boleh menyebabkan aliran udara tersumbat (sekatan) dan menyebabkan kesukaran bernafas. Prevalen asma yang tinggi di seluruh dunia telah menjadi masalah kesihatan awam disebabkan oleh kos penjagaan kesihatan yang besar akibat daripada kemasukan ke hospital dan ubat-ubatan. Selain itu, asma adalah penyakit kronik yang paling biasa dalam kalangan kanak-kanak. Senaman pernafasan adalah rawatan tanpa ubat yang telah digunakan secara rutin bagi rawatan penghidap asma. Senaman pernafasan bertujuan untuk mengawal gejala-gejala hiperventilasi (bernafas berlebihan) asma dan boleh termasuk kaedah Papworth, teknik pernafasan Buteyko, yoga atau kaedah lain yang serupa yang fokus terhadap pengubahan corak pernafasan.

Soalan ulasan

Kami ingin melihat bukti tentang keberkesanan senaman pernafasan dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap asma.

Keputusan utama

Kami menemui tiga kajian melibatkan 112 kanak-kanak yang mengalami asma ringan hingga teruk. Semua kajian yang dimasukkan membandingkan senaman pernafasan sebagai sebahagian daripada rawatan yang lebih kompleks (latihan otot inspirasi, senaman relaksasi, senaman daya tahan, senaman mobilisasi berirama, getaran, perkusi, teknik hembusan paksa) berbanding kawalan. Kajian berbeza dalam saiz daripada 28 hingga 60 kanak-kanak. Sampel terdiri daripada pesakit dalam dan pesakit luar. Kumpulan kawalan menerima rawatan yang berbeza: satu menerima rawatan plasebo (pura-pura), satu program pendidikan dan perjumpaan dengan doktor, dan satu tidak diterangkan. Kami menemui tiada hasil utama (ukuran kualiti hidup, gejala asma dan kesan sampingan rawatan) yang dilaporkan sebagai perbandingan antara kumpulan rawatan dan kawalan.

Kualiti bukti

Kajian yang dimasukkan mempunyai bilangan keseluruhan peserta dan sesi yang kecil. Tiada kajian yang dimasukkan membandingkan senaman pernafasan sahaja berbanding kawalan. Sebaliknya, senaman pernafasan adalah sebahagian daripada pakej rawatan dan dibandingkan dengan kawalan. Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian tidak dilaporkan dengan baik seperti yang kami mahukan dan juga tidak jelas tentang kualiti ujian. Secara keseluruhannya, kami menilai kajian yang dimasukkan sebagai berisiko berat sebelah yang tidak jelas dan kualiti bukti yang dimasukkan dalam ulasan adalah rendah.

Kesimpulan

Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai mengenai penggunaan senaman pernafasan untuk kanak-kanak yang menghidap asma dalam amalan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information