Terapi rekanalisasi untuk strok bangun tidur

Soalan ulasan

Adakah orang yang bangun tidur dengan simptom strok akut yang baru mendapat manfaat daripada rawatan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat (terapi rekanalisasi)?

Latar belakang

Kebanyakan strok disebabkan oleh penyumbatan saluran darah di otak oleh bekuan darah (strok iskemia). Ia adalah satu penyebab utama kematian dan kehilangan upaya di seluruh dunia. Rawatan untuk membuka semula saluran darah seperti ubat pelarut bekuan (trombolisis) atau peranti mekanikal untuk membuang bekuan darah (trombektomi) boleh meningkatkan pemulihan selepas strok iskemia jika aliran darah dipulihkan dengan cepat.

Kira-kira satu daripada lima strok berlaku semasa tidur (strok bangun tidur). Orang yang menghidap strok bangun tidur secara tradisinya dianggap tidak layak untuk terapi rekanalisasi kerana masa permulaan strok adalah tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kajian terkini terhadap pesakit terpilih mencadangkan manfaat daripada terapi rekanalisasi.

Tarikh carian

Kami mencari kajian rawak terkawal (satu jenis eksperimen dengan peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) sehingga 24 Mei 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian dengan sejumlah 980 peserta. Lima kajian dengan 775 peserta strok bangun tidur dirawakkan kepada rawatan trombolitik intravena atau kawalan (sama ada plasebo (rawatan dummy) atau rawatan perubatan standard sahaja). Dua kajian dengan 205 peserta strok bangun tidur dengan bekuan darah dalam arteri besar di otak telah dirawakkan kepada sama ada trombektomi mekanikal endovaskular ditambah rawatan perubatan standard atau rawatan perubatan standard sahaja.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa terapi rekanalisasi boleh meningkatkan hasil fungsi dan kelangsungan hidup dalam pesakit terpilih dengan strok bangun tidur. Walau bagaimanapun, kami tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rawatan tersebut meningkatkan risiko pendarahan di dalam otak. Kriteria pemilihan optimum berkenaan dengan kriteria pengimejan atau tetingkap masa, atau kedua-duanya, untuk memilih pesakit untuk dirawat adalah masih tidak jelas; kriteria ini berbeza antara kajian. Oleh itu, lebih banyak kajian untuk menyiasat perkara ini adalah wajar.

Kualiti bukti

Kami menilai kajian yang disertakan sebagai berisiko berat sebelah yang rendah atau tidak jelas, dan kepastian keseluruhan bukti sebagai tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan (RCSI & UCD Malaysia campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information