Sokongan rakan sebaya untuk pesakit skizofrenia atau penyakit mental lain yang serius

Latar belakang

Skizofrenia dan penyakit mental lain yang serius adalah penyakit gangguan mental yang kronik dengan gejala psikotik yang mengganggu, gejala afektif dan kognitif seperti khayalan, halusinasi, kemurungan, kegelisahan, insomnia, kesukaran dalam konsenstrasi, kecurigaan dan penyingkiran sosial. Rawatan utama adalah ubat antipsikotik, tetapi ia tidak selalu berkesan sepenuhnya.

Sokongan rakan sebaya memberi peluang kepada kedua-dua pengguna perkhidmatan dan pemberi jagaan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman tentang penyakit mereka secara langsung dan membantu antara satu sama lain sepanjang proses pemulihan. Sokongan tersebut diberi bersama-sama rawatan antipsikotik. Melalui perkongsian interpersonal, pemodelan dan bantuan di dalam atau di luar sesi berkumpulan, strategi sokongan ini dipercayai dapat membantu memerangi perasaan putus asa dan masalah tingkah laku yang mungkin timbul akibat daripada sakit serta membuka peluang kepada mereka untuk meneruskan rawatan di samping membantu mereka menjalankan peranan mereka dalam kehidupan sebenar. Walau bagaimanapun, penemuan penyelidikan mengenai keberkesanan sokongan rakan sebaya untuk penderita skizofrenia dan penyakit mental yang serius adalah tidak konsisten.

Matlamat ulasan

Kajian ini bertujuan untuk mencari bukti kualiti tinggi daripada ujian klinikal rawak yang relevan (kajian di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) agar kami dapat menilai kesan penglibatan sokongan rakan sebaya terhadap orang yang mempunyai penyakit mental yang serius berbanding penjagaan standard atau intervensi sokongan atau psikososial selain dari rakan sebaya. Kami berminat untuk mencari data klinikal bermakna yang dapat memberikan maklumat mengenai kesan sokongan rakan sebaya terhadap kemasukan ke hospital, penyakit berulang, keadaan global, kualiti hidup, kematian dan kos kepada masyarakat untuk orang yang mengalami skizofrenia.

Carian

Kami telah mencari senarai khusus ujian Cochrane Schizophrenia (sehingga 2017) dan mendapati 13 ujian yang menglibatkan 2479 orang secara rawak yang mengalami skizofrenia atau penyakit mental serius yang sama untuk menerima sama ada sokongan rakan sebaya serta penjagaan standard mereka, sokongan yang diketuai oleh doktor beserta penjagaan standard atau penjagaan standard sahaja.

Keputusan utama

Tiga belas kajian telah sedia ada tetapi buktinya berkualiti sangat rendah. Data yang boleh digunakan hanya melaporkan dua daripada keputusan yang dianggap penting dan sokongan rakan sebaya terhadap penjagaan standard menunjukkan kesan yang sedikit atau tidak jelas mengenai kemasukan atau kematian hospital bagi orang yang mengalami skizofrenia dan penyakit mental yang serius. Salah satu daripada ujian ini (peserta = 156) juga membandingkan sokongan rakan sebaya dengan sokongan yang diketuai oleh doktor (di mana seorang profesional kesihatan memberi sokongan). Walau bagaimanapun, tiada data yang boleh digunakan untuk perbandingan ini untuk dilaporkan sebagai hasil utama.

Kesimpulan

Kami kurang yakin dengan penemuan di atas. Pada masa ini, tidak terdapat bukti yang berkualiti tinggi untuk menyokong atau menafi keberkesanan penglibatan sokongan rakan sebaya bagi mereka yang mengalami skizofrenia atau penyakit mental yang serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information