Rawatan untuk wanita dengan anemia kekurangan ferum postpartum

Anemia adalah keadaan di mana darah mengandungi hemoglobin kurang daripada biasa (kiraan darah rendah), seperti yang ditunjukkan dalam ujian darah. Hemoglobin adalah molekul dalam sel darah merah yang memerlukan ferum untuk membawa oksigen. Kekurangan pengambilan atau serapan ferum dan kehilangan ferum (perdarahan) boleh menyebabkan anemia kekurangan ferum. Gejala anemia termasuk kelesuan, sesak nafas dan pening. Wanita boleh berdarah dengan teruk semasa bersalin dan ramai wanita hamil mengalami anemia, yang boleh memburukkan akibat perdarahan. Anemia yang teruk boleh dikaitkan dengan kematian ibu. Anemia kekurangan ferum selepas bersalin lebih mungkin berlaku di negara berpendapatan rendah.

Rawatan untuk anemia kekurangan ferum termasuk tablet ferum atau larutan yang disuntik ke dalam vena (intravena). Pilihan lain adalah untuk memulihkan sel darah merah melalui transfusi darah dari penderma atau untuk menggalakkan pembentukan sel darah merah dengan eritropoietin. Pennting untuk menyiasat jika satu rawatan adalah lebih baik daripada yang lain dalam melegakan gejala anemia, dan sama ada pilihan-pilihan rawatan adalah selamat.

Kami memasukkan 22 kajian rawak terkawal dengan 2858 wanita dan membuat 13 perbandingan, kebanyakannya berdasarkan beberapa kajian yang melibatkan sejumlah kecil wanita. Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah. Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi.

Sepuluh kajian dengan 1553 wanita, membandingkan ferum intravena dengan ferum oral. Hanya satu kajian menunjukkan kesan positif sementara terhadap kelesuan untuk ferum intravena. Gejala anemia lain tidak dilaporkan. Seorang wanita mati akibat komplikasi jantung dalam kumpulan intravena. Hanya dua kajian yang melaporkan kematian ibu. Reaksi alahan terjadi pada tiga wanita, dan komplikasi jantung dalam dua wanita dalam kumpulan intravena. Gejala-gejala gastrousus adalah kerap dalam kumpulan oral dan menyebabkan beberapa peserta meninggalkan rawatan.

Satu kajian membandingkan transfusi sel darah merah dengan tanpa transfusi. Beberapa (tetapi tidak semua) skor kelesuan bertambah baik buat sementara waktu daam kalangan wanita yang ditransfusi. Kematian ibu tidak dilaporkan.

Apabila ferum oral dibandingkan dengan plasebo (tiga kajian), gejala anemia tidak dilaporkan. Masih tidak diketahui sama ada manfaat ferum oral melebihi kemudaratan gastrousus yang didokumenkan.

Pilihan rawatan lain dibandingkan dalam kajian-kajian lain, yang tidak menyiasat kelesuan.

Sangat sedikit kajian yang melaporkan kelegaan gejala anemia, walaupun ini mungkin merupakan tujuan paling penting rawatan.

Bukti tidak membolehkan kami menilai sepenuhnya keberkesanan rawatan anemia kekurangan ferum selepas bersalin dan kajian lanjutan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save