Apakah kesan rawatan untuk wanita dengan anemia kekurangan zat besi selepas bersalin?

Mesej-mesej Utama

  • Zat besi intravena (diberi melalui vena) mungkin sedikit mengurangkan keletihan pada 8 hingga 28 hari berbanding tambahan zat besi oral (melalui mulut), tetapi kami tidak pasti jika zat besi intravena dan tambahan zat besi oral berbanding tambahan zat besi oral sahaja mempengaruhi keletihan pada 8 hingga 28 hari.

  • Kami sangat tidak pasti tentang kesan transfusi sel darah merah berbanding zat besi intravena terhadap keletihan pada 8 hingga 28 hari, dan tidak ada maklumat mengenai transfusi sel darah merah berbanding tanpa transfusi pada keletihan pada 8 hingga 28 hari.

  • Kematian ibu sama ada tidak dilaporkan, atau bukti tersebut sangat tidak pasti untuk semua perbandingan. Untuk zat besi oral berbanding plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan, tiada maklumat tentang keletihan pada 8 hingga 28 hari.

Apakah anemia akibat kekurangan zat besi?

Anemia adalah keadaan di mana darah mengandungi hemoglobin kurang dari normal (kiraan darah rendah), seperti yang ditunjukkan dalam ujian darah. Hemoglobin adalah molekul dalam sel darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke tisu. Hemoglobin adalah protein yang terdiri daripada peptida dan besi. Pengambilan zat besi yang tidak cukup, masalah penyerapan zat besi dalam usus, atau kehilangan zat besi (berdarah) boleh menyebabkan anemia akibat kekurangan zat besi. Gejala anemia termasuklah keletihan, sesak nafas, pening, dan kesukaran untuk memulakan penyusuan susu ibu. Wanita mungkin berdarah teruk semasa melahirkan, dan ramai ibu hamil mempunyai stor zat besi yang rendah atau anemia, atau kedua-duanya, yang boleh menjadi lebih teruk akibat perdarahan. Anemia teruk dikaitkan dengan kematian ibu selepas melahirkan anak. Anemia akibat kekurangan zat besi selepas bersalin lebih mungkin berlaku di negara berpendapatan rendah.

Bagaimanakah anemia akibat kekurangan zat besi selepas bersalin dirawat?

Rawatan untuk anemia akibat kekurangan zat besi termasuklah penambahan zat besi oral atau zat besi intravena. Kajian-kajian mendapati risiko tindak balas alahan yang serius dengan zat besi intravena. Pilihan lain adalah untuk memulihkan sel darah merah melalui transfusi dengan darah dari penderma darah.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika sesuatu rawatan adalah lebih baik daripada yang lain dalam melegakan gejala anemia, dan sama ada pilihan-pilihan rawatan adalah selamat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang melihat rawatan sedia ada untuk wanita dengan anemia selepas melahirkan. Kami menyaring kajian-kajian untuk kebolehpercayaan dan memasukkan kajian yang dianggap boleh percaya. Hasil yang paling penting ialah keletihan (kelesuan) dan kematian.

Apa yang kami temui?

Kami sertakan 33 kajian dengan sejumlah 4558 wanita dan melakukan tujuh perbandingan rawatan.

Lapan belas kajian (3026 wanita) membandingkan zat besi intravena dengan penambahan zat besi oral. Adalah tidak jelas jika zat besi intravena mempengaruhi bilangan kematian. Hanya seorang wanita yang menerima zat besi intravena mati. Berdasarkan dua kajian (515 wanita), kami mendapati zat besi intravena mungkin sedikit mengurangkan keletihan dalam tempoh 8 hingga 28 hari berbanding penambahan zat besi oral. Tiada kajian yang mengkaji sama ada zat besi intravena mempengaruhi penyusuan susu ibu. Sembelit mungkin lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang dirawat dengan penambahanen zat besi oral berbanding mereka yang menerima zat besi intravena (10.7% berbanding < 1%). Adalah tidak jelas jika zat besi intravena mempunyai kesan terhadap tindak balas alahan (anafilaksis (tindak balas alahan yang teruk) atau hipersensitiviti berlaku dalam kalangan tiga wanita yang menerima zat besi intravena). Zat besi intravena boleh meningkatkan paras hemoglobin, tetapi perbezaan penting antara kajian-kajian tidak membolehkan anggaran kesan yang tepat.

Dua kajian membandingkan transfusi sel darah merah dengan zat besi intravena. Adalah tidak jelas jika transfusi sel darah merah mempengaruhi bilangan kematian, keletihan pada 8 hingga 28 hari, dan penyusuan susu ibu. Tiada kajian melihat jika zat besi intravena mempengaruhi sembelit atau tindak balas alahan. Transfusi sel darah merah boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam hemoglobin.

Tiga kajian membandingkan penambahan zat besi intravena dan zat besi oral dengan penambahan zat besi oral sahaja. Tiada kajian yang melihat jika penambahan zat besi intravena dan zat besi oral mempengaruhi bilangan kematian atau penyusuan susu ibu. TAdalah tdak jelas jika penambahan zat besi intravena dan zat besi oral mempengaruhi tindak balas alahan atau keletihan. Penambahan zat besi intravena dan zat besi oral boleh mengurangkan sembelit berbanding zat besi oral sahaja (1 kajian; 128 wanita) dan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan paras hemoglobin pada 8 hingga 28 hari.

Satu kajian membandingkan transfusi sel darah merah dengan tanpa transfusi. Tiada kajian yang melihat jika transfusi sel darah merah mempengaruhi bilangan kematian, keletihan, sembelit, tindak balas alergi, atau paras hemoglobin. Transfusi sel darah merah boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam penyusuan susu ibu melebihi enam minggu selepas bersalin (1 kajian; 297 wanita).

Tiga kajian membandingkan penambahan zat besi oral dengan plasebo. Tiada kajian yang melihat jika penambahan zat besi oral mempengaruhi bilangan kematian, keletihan, penyusuan susu ibu, tindak balas alahan, atau paras hemoglobin dalam tempoh 8 hingga 28 hari. Dua kajian melaporkan sembelit bukan untuk kedua-dua kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Kami berkeyakinan rendah hingga sangat rendah terhadap bukti kerana wanita dalam kajian-kajian tahu rawatan mana yang mereka terima, yang mungkin mempengaruhi keputusan. Juga, beberapa kajian melaporkan hasil yang penting untuk pesakit. Hanya 8 daripada 33 kajian melaporkan keletihan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga April 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information