Adakah teknologi bantuan membantu memperbaiki sendi kaku yang disebabkan oleh otot dan tendon yang memendek pada orang dewasa selepas strok?

Mesej utama

• Disebabkan kami hanya menemui tujuh kajian berkualiti rendah, kami tidak dapat membuat kesimpulan dengan pasti sama ada rawatan dengan teknologi bantuan lebih baik daripada rawatan konvensional.
• Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan untuk mengukur faedah dan bahaya teknologi bantuan untuk pengurusan kontraktur pada orang dewasa yang mengalami strok.

Apakah itu kontraktur?

Selepas strok, ramai orang mengalami kecacatan anggota badan yang disebabkan oleh otot dan tendon semakin pendek dan lebih kaku. Penyebab utama kontraktur adalah anggota badan menjadi terperangkap dalam kedudukan yang dipendekkan.

Apakah teknologi bantuan?

Teknologi bantuan adalah alat yang menggunakan arus elektrik atau mekanikal (misalnya splinting) untuk meregangkan otot dan tisu lembut.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada teknologi bantuan adalah lebih baik daripada terapi rutin, tiada terapi, atau teknologi bantuan lain untuk meningkatkan julat gerakan pasif (berapa banyak seseorang dapat menggerakkan sendi dengan bantuan luar) dan kebersihan pada orang dewasa selepas strok. Kami juga ingin mengetahui sama ada teknologi bantuan mempunyai kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai kesan teknologi bantuan berbanding tanpa rawatan, terapi rutin, atau teknologi bantuan lain. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian kecil yang membandingkan teknologi bantuan dengan terapi rutin. Jenis teknologi bantuan adalah rangsangan elektrik, splinting, meletakkan pergelangan tangan menggunakan papan berengsel, dan peranti bukan robot dengan rangsangan elektrik. Rawatan berlangsung antara empat hingga 12 minggu. Beberapa kajian memasukkan orang dengan keadaan selain strok serta orang dengan strok. Jika boleh, kami hanya menganalisis keputusan bagi orang yang menghidap strok.

Keputusan utama

Kami hanya dapat menganalisis data daripada lima kajian yang melibatkan 252 orang. Kesan segera rawatan diukur selepas intervensi regangan akhir dalam tempoh kajian.

Kami sangat tidak pasti sama ada teknologi bantuan lebih baik daripada terapi rutin untuk meningkatkan julat gerakan pasif di pergelangan tangan, bahu, atau siku. Tiada kajian melaporkan sebarang ukuran bagi kebersihan. Kesan yang tidak diingini adalah sakit semasa berlakunya regangan pada otot dan kerosakan kulit apabila menggunakan splint ibu jari.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana ia berasal dari hanya tujuh kajian kecil, dan orang yang memberi dan menerima rawatan tahu kumpulan rawatan mana mereka berada (teknologi bantuan atau terapi rutin). Tambahan pula, kajian yang berbeza menggunakan kaedah yang berbeza untuk melakukan regangan dan skala yang berbeza untuk mengukur keputusannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information