Benzodiazepines untuk gangguan panik bagi orang dewasa

Mengapakah ulasan ini penting?

Gangguan panik adalah perkara yang biasa terjadi dalam masyarakat umum, secara karekteristiknya ia adalah serangan panik yang berlaku berulang kali tanpa jangkaan, terdiri daripada gelombang ketakutan yang kuat yang mencapai puncak dalam masa beberapa minit. Agorafobia sering berlaku selepas satu atau lebih serangan panik dan ianya merupakan ketakutan untuk berada dalam situasi di mana melarikan diri mungkin sukar atau tiada bantuan jika diperlukan. Gangguan panik selalunya dirawat dengan kombinasi rawatan psikologi dan ubat-ubatan. Walaupun tidak selalu disyorkan sebagai ubat bagi rawatan yang pertama, benzodiazepine sering digunakan sebagai rawatan gangguan panik. Benzodiazepine memberikan tindakan kelegaan yang cepat, tetapi ia mempunyai risiko pergantungan dan simptom pemutusan.

Siapa yang akan berminat mengenai ulasan ini?

Pesakit dan pengamal perubatan.

Apakah persoalan yang cuba dijawab dalam ulasan ini?

Setakat manakah benzodiazepine berkesan merawat gangguan panik (dengan atau tanpa agorafobia) berbanding plasebo (ubat yang tiada bahan aktif)?

Setakat manakah rawatan benzodiazepine berbanding plasebo diterima oleh pesakit gangguan panik dengan atau tanpa agorafobia ?

Berapa ramai orang yang mengalami gangguan panik dengan atau tanpa agorafobia yang mendapat rawatan benzodiazepine mengalami kesan sampingan berbanding dengan plasebo?

Kajian-kajian manakah yang telah disertakan dalam ulasan ini?

Kami melakukan pencarian dalam pengkalan data elektronik dan kajian berdaftar untuk mencari semua kajian yang berkaitan. Kami hanya memasukkan percubaan rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dilibatkan dalam kumpulan rawatan secara rawak) yang membandingkan rawatan dengan benzodiazepine dan plasebo pada orang dewasa yang mempunyai diagnosis gangguan panik dengan atau tanpa agorafobia. Kami hanya melibatkan kajian di mana pesakit dan doktor tidak mengetahui jenis rawatan yang mereka terima. Kami memasukkan 24 kajian dengan jumlah 4233 peserta dalam ulasan ini.

Apakah maklumat yang diperolehi daripada bukti ulasan ini?

Kami mendapati bukti yang konsisten mungkin terdapat faedah benzodiazepine dalam melegakan gejala panik dan juga dalam jumlah peserta yang berhenti dari rawatan. Tambahan pula, benzodiazepine boleh meningkatkan fungsi sosial lebih daripada plasebo. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat lebih banyak penarikan diri dari rawatan disebabkan oleh kesan sampingan dan lebih banyak peserta yang mengalami sekurang-kurangnya satu kesan sampingan apabila dirawat dengan benzodiazepine. Kami mendapati beberapa batasan yang serius dalam reka bentuk kajian yang terlibat. Sebagai contoh, dalam beberapa kajian, para peserta dan pakar perubatan dapat meneka jenis rawatan yang diberikan kepada para peserta, oleh itu mungkin terdapat beberapa ujian yang tidak benar-benar tertutup. Perkara ini mungkin menyebabkan lebih nilaian terhadap kesan rawatan yang diterima. Satu lagi batasan utama adalah kajian yang terlibat hanyalah kajian jangka pendek dan tidak mencerminkan risiko gejala pergantungan dan pemutusan. Tambahan lagi, adakah faedah yang didapati masih dirasai selepas habis rawatan.

Apakah yang perlu dilakukan seterusnya?

Kajian jangka panjang yang berkualiti tinggi harus dilakukan untuk menentukan sama ada faedah rawatan dapat dikekalkan dan untuk memberikan penilaian sama ada manfaat tersebut lebih daripada simptom pemutusan dan risiko pergantungan. Walau bagaimanapun, kesimpulan umum mengenai keberkesanan jangka masa pendek dan potensi gejala pergantungan terhadap benzodiazepine tidak akan berubah. Perbandingan dengan rawatan aktif yang lain termasuk psikoterapi, contohnya meta analisis pelbagai rawatan, mungkin lebih sesuai untuk menjelaskan tentang pelaksanaan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save