Tafenoquine untuk mencegah relaps dalam orang dengan malaria vivax

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat jika tafenoquine boleh mencegah relaps jangkitan vivax dan jika kesan ini setara dengan dos standard primaquine. Dos standard primaquine ditakrifkan sebagai 15 mg/hari selama 14 hari untuk orang dewasa.

Mesej utama

Tafenoquine mencegah relaps malaria vivax (diukur sebagai pengulangan jangkitan dalam semua kajian kerana tidak mungkin untuk membezakan relaps sebenar dari jangkitan semula) dalam orang dewasa berbanding dengan tiada rawatan pencegahan relaps (plasebo). Terdapat juga kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan di antara tafenoquine dan primaquine dalam mencegah relaps. Bukti adalah berkepastian sederhana kerana jumlah kajian dan data yang sedikit. Terdapat kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan dalam peristiwa buruk keseluruhan dengan tafenoquine berbanding dengan plasebo atau primaquine. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti jika tafenoquine menyebabkan lebih banyak peristiwa buruk yang serius seperti penurunan hemoglobin darah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Malaria vivax disebabkan oleh parasit Plasmodium vivax. Penyakit ini termasuk jangkitan hati tahap tidak aktif dan ini boleh menyebabkan relaps (bertambah buruk) melainkan ia dirawat.

Ubat yang paling kerap digunakan untuk pencegahan relaps hingga akhir-akhir ini adalah primaquine, tetapi kini terdapat alternatif baru dinamakan tafenoquine. Agensi AS yang bertanggungjawab untuk melindungi kesihatan awam, Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA), mengesyorkan tafenoquine untuk pencegahan relaps pada dos tunggal 300 mg. Berbanding dengan primaquine, yang biasanya diberikan setiap hari selama 14 hari, dos satu hari memberikan kelebihan yang signifikan. Walau bagaimanapun, kedua-dua primaquine dan tafenoquine boleh menyebabkan sel darah merah pecah atau musnah (dipanggil hemolisis) dalam orang dengan keadaan keturunan yang dipanggil kekurangan enzim glukosa-6-fosfat dehidrogenase (G6PD).

Kami menjalankan Ulasan Cochrane mengenai kesan tafenoquine terhadap penghapusan parasit P vivax yang tidak aktif dalam orang yang dijangkiti untuk mencegah relaps. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk membezakan di antara relaps sebenar dan jangkitan baru dalam individu yang sama melainkan orang itu dikeluarkan dari kawasan endemik malaria selepas rawatan awal. Semua kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak melakukan itu dan telah benar-benar mengukur pengulangan sebagai ukuran proksi untuk membuat kesimpulan mengenai relaps. Walaupun mengakui batasan ini, dalam memberikan saranan dan keputusan dalam ulasan ini kami menggunakan perkataan ‘relaps’ sebagai mencegah relaps adalah berniat untuk menggunakan tafenoquine sebagai dos tunggal dalam kajian-kajian ini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mengkaji penyelidikan yang diterbitkan sehingga 3 Jun 2020. Kami mengenal pasti tiga kajian dijalankan di sembilan negara dalam 747 orang dewasa dengan malaria P vivax yang disahkan. Semua orang dewasa menerima klorokuin (untuk membersihkan darah dari parasit) dan beberapa kumpulan menerima sama ada tafenoquine dalam dos tunggal 300 mg, primaquine atau plasebo (tablet tidak aktif disamakan untuk tempoh primaquine). Semuanya diperhatikan untuk pengulangan malaria P vivax (sehingga enam bulan) dan semua kajian menguji orang untuk aktiviti G6PD dan mengecualikan orang yang kekurangannya. Wanita hamil dan kanak-kanak juga dikecualikan.

Orang dewasa yang menerima 300 mg tafenoquine mengalami lebih sedikit relaps (disimpulkan dari jumlah pengulangan jangkitan yang lebih rendah) daripada orang dewasa yang menerima plasebo (bukti kepastian sederhana). Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara 300 mg tafenoquine dan primaquine untuk pencegahan relaps (bukti kepastian sederhana). Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan-kesan sampingan keseluruhan di antara tafenoquine dan primaquine (bukti kepastian sederhana). Kami tidak pasti jika tafenoquine menyebabkan lebih banyak peristiwa buruk serius berbanding dengan plasebo atau premaquine (contohnya, hemolisis; bukti kepastian sangat rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information