Langkau ke kandungan utama

Adakah suntikan hyaluronidase perineum semasa peringkat kedua kelahiran mengurangkan kerosakan alat kelamin pada wanita yang dalam kelahiran?

Mesej-mesej utama

Bagi wanita dalam peringkat kedua kelahiran, suntikan bahan yang dikenali sebagai hyaluronidase (HAase) ke dalam kawasan perineum (sebahagian daripada alat kelamin) boleh mengurangkan risiko kerosakan pada perineum (iaitu koyakan yang tidak dijangka atau luka pembedahan yang disengajakan dikenali sebagai episiotomi - atau kedua-duanya) apabila dibandingkan dengan tiada intervensi. Kemungkinannya terdapat tiada perbezaan apabila membandingkan suntikan HAase dengan suntikan plasebo (palsu).

Suntikan HAase perineum semasa peringkat kedua kelahiran mungkin mengurangkan pembengkakan di kawasan perineum 24 jam selepas bersalin melalui faraj apabila dibandingkan dengan suntikan plasebo.

Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai sepenuhnya peranan suntikan HAase perineum dalam kelahiran melalui faraj.

Apakah itu trauma perineum dalam kelahiran melalui faraj?

Perineum terdiri daripada tisu yang mengelilingi saluran urogenital dan dubur. Trauma perineum adalah kerosakan pada kawasan ini yang boleh berlaku secara spontan (koyakan) atau secara pembedahan (potongan yang dikenali sebagai episiotomi) semasa kelahiran bayi secara normal (kelahiran melalui faraj). Trauma perineum selepas kelahiran melalui faraj adalah sangat biasa dan boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Trauma perineum dikelaskan sebagai tahap pertama, kedua, ketiga atau keempat, mengikut keterukan dan seberapa banyak kawasan yang terjejas.

Mengapakah penting untuk menilai teknik yang berpotensi untuk mengurangkan trauma perineum semasa kelahiran melalui faraj?

Trauma perineum boleh dikaitkan dengan masalah fizikal dan psikologi yang ketara sejurus selepas kelahiran atau dalam jangka masa panjang, termasuk pendarahan, jangkitan luka, koyakan sphincter dubur, kesukaran untuk kencing, inkontinens dubur, kerosakan pada otot levator dubur dan masalah seksual. Trauma perineum yang teruk boleh dielakkan dengan urutan perineum dan kompres hangat, tetapi masih tiada langkah yang berkesan untuk mengurangkan trauma perineum tahap pertama dan kedua, yang kelihatan menyumbang kepada kebanyakan trauma perineum dalam kelahiran melalui faraj.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Suntikan perineum hyaluronidase (HAase) ialah satu cara yang berisiko rendah, kos rendah dan berpotensi berkesan untuk menghasilkan kelonggaran perineum yang telah dicadangkan untuk mengurangkan risiko koyakan spontan atau luka yang disengajakan (episiotomi), tanpa menyebabkan kesan negatif yang lain. Peringkat kedua kelahiran ialah detik apabila pintu masuk rahim (serviks) terbuka sepenuhnya sehingga kelahiran bayi. Kami ingin mengetahui sama ada suntikan HAase perineum semasa peringkat kedua kelahiran boleh mengurangkan trauma perineum, episiotomi atau sakit perineum selepas kelahiran melalui faraj, dan jika terdapat sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang dikenali sebagai kajian rawak terkawal yang menilai suntikan HAase perineum berbanding suntikan plasebo atau tiada intervensi untuk mengurangkan trauma perineum dan komplikasi berkaitan dalam kelahiran melalui faraj. Para peserta dalam kajian-kajian ini mestilah wanita yang melahirkan seorang bayi yang merupakan anak pertama mereka dan berada dalam kedudukan biasa untuk bersalin. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian - kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor - faktor seperti kaedah dan saiz - saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 743 wanita yang melahirkan buat kali pertama . Kajian yang terbesar melibatkan 200 wanita dan yang terkecil melibatkan 100 wanita. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di Amerika Latin, Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa suntikan HAase perineum yang diberikan semasa peringkat kedua kelahiran boleh menyebabkan kemungkinan trauma perineum yang lebih rendah (ditakrifkan sebagai koyakan atau episiotomi atau kedua-duanya) berbanding tanpa intervensi pada wanita yang bersalin melalui faraj (berdasarkan 3 kajian dengan 426 peserta), tetapi mungkin tiada perbezaan antara suntikan HAase dan suntikan plasebo (berdasarkan 3 kajian dengan 373 peserta). Apabila membandingkan suntikan HAase perineum dengan suntikan plasebo, 746 daripada 1000 wanita yang menerima suntikan HAase perineum mungkin mengalami trauma perineum berbanding 794 daripada 1000 wanita yang menerima suntikan plasebo. Apabila membandingkan suntikan HAase perineum dengan tiada intervensi, 475 daripada 1000 wanita yang menerima suntikan HAase perineum mungkin mengalami trauma perineum berbanding 779 daripada 1000 wanita yang tidak menerima intervensi.

Suntikan HAase perineum mungkin mengurangkan kebengkakan perineum selepas 24 jam kelahiran melalui faraj berbanding suntikan plasebo (2 kajian; 303 peserta).

Kemungkinannya tiada perbezaan antara kumpulan dalam kemungkinan untuk menerima episiotomi, mahupun untuk mengalami laserasi perineum tahap pertama dan kedua, laserasi perineum tahap ketiga dan keempat, kebengkakan perineum sejam selepas kelahiran melalui faraj dan skor Apgar (ukuran kesihatan bayi yang baru lahir) kurang daripada 7 pada minit kelima selepas kelahiran melalui faraj.

Tiada kesan sampingan (contohnya tindak balas alahan, kecenderungan pendarahan dan kesakitan setempat akibat suntikan) yang dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami adalah terhad kerana keputusasan daripada kajian-kajian adalah sangat berbeza, dan kajian-kajian ini hanya melibatkan bilangan peserta yang sedikit. Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ianya dijalankan, dan ada kajian yang tidak dapat memastikan bahawa peserta dan penilai hasil tidak mengetahui peserta mana yang telah menerima suntikan yang mana. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga November 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Zhou F, Zhang J, Li Y, Huang GQiong, Li J, Wang XDong. Hyaluronidase for reducing perineal trauma. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD010441. DOI: 10.1002/14651858.CD010441.pub3.