Penambahan koenzim Q10 untuk pencegahan utama penyakit kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah akibat komplikasi jantung dan saluran darah dan merupakan beban penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, risiko CVD mungkin boleh diturunkan dengan mengubah beberapa faktor risiko yang boleh diubah suai, seperti diet. Makanan tambahan telah mendapat banyak perhatian untuk mencegah CVD. Satu penambahan sedemikian adalah koenzim Q10 (CoQ10), yang merupakan antioksidan. Kekurangan dalam CoQ10 telah dikaitkan dengan CVD. Oleh itu ulasan ini menilai keberkesanan penambahan CoQ10 untuk pencegahan CVD. Kami memasukkann kajian yang memberi CoQ10 sebagai penambahan tunggal dalam kalangan orang dewasa yang sihat atau berisiko CVD tinggi (tetapi tanpa diagnosis CVD) dan mengukur peristiwa kardiovaskular atau faktor risiko utama CVD, seperti tekanan darah dan paras lipid. Kami mendapati enam kajian rawak terkawal yang lengkap dengan jumlah 218 peserta yang dirawak. Kesemuanya dilakukan dalam kalangan peserta berisiko CVD tinggi. Dua kajian mengkaji penambahan CoQ10 sahaja dan empat memeriksa penambahan CoQ10 dalam kalangan pesakit terapi statin. Kajian-kajian tersebut adalah kecil dan berjangka pendek, tiada yang mengukur peristiwa kardiovaskular atau peristiwa buruk, dan kami beranggapan dua daripada enam kajian tersebut berisiko bias tinggi. Sangat sedikit kajian kecil yang menyumbang kepada analisis dan tiada kesimpulan dapat dibuat pada masa ini. Kami juga mengenal pasti lima kajian yang sedang berlangsung dan hasilnya akan menambah bukti asas pada masa akan datang. Lebih banyak kajian jangka panjang diperlukan untuk menentukan kesan CoQ10 terhadap peristiwa kardiovaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save