Selenium tambahan bagi radang tiroid Hashimoto

Radang tiroid Hashimoto adalah penyakit yang sering berlaku di mana keradangan kronik kelenjar tiroid mengakibatkan pengurangan fungsi kelenjar tersebut. Ia merupakan penyakit auto-imun, yang bermaksud bahawa sistem imun individu tersebut yang menyerang kelenjar tiroidnya sendiri, menjadikan ia tidak lagi menghasilkan kuantiti hormon tiroid yang mencukupi (hipotiroidisma). Manifestasi klinikal biasa termasuklah rasa sejuk, kemurungan, kulit kering, mata bengkak, sembelit, pertambahan berat badan, nadi diperlahankan, sakit sendi dan otot serta keletihan. Sebahagian walau tetapi tidak semua pengidap radang tiroid Hashimoto mempunyai kelenjar yang besar, yang juga dipanggil goiter. Radang tiroid Hashimoto lebih biasa terjadi dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan mempunyai kecenderungan untuk terjadi dalam keluarga. Penyakit auto-imun lain, seperti vitiligo, artritis reumatoid dan kencing manis jenis 1, kerap berlaku secara serentak. Penyakit tersebut tidak semuanya memerlukan rawatan, tetapi sekiranya perlu, ia dirawat dengan terapi penggantian hormon tiroid sintetik (kadang-kadang hormon tiroid yang dikeringkan digunakan, yang bukan sintetik). Selenium adalah elemen surih penting yang diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk sistem imun dan kelenjar tiroid berfungsi dengan baik.

Empat kajian dengan risiko kecenderungan yang kurang jelas kepada tinggi, meliputi 463 orang peserta telah dikaji. Tempoh kajian purata ialah 7.5 bulan (antara 3 hingga 18 bulan). Tiada satu pun kajian menjawab persoalan utama kami -'kesihatan yang berkaitan dengan kualiti kehidupan'. Dua daripada hasil sekunder kami-'perubahan tahap levothyroxine asas (iaitu dos penggantian hormon tiroid) pada akhir kajian' dan 'kos ekonomi'-telah juga tidak dinilai. Satu kajian berisiko kecenderungan yang tinggi menunjukkan peningkatan tahap kesejahteraan subjektif yang signifikan secara statistik dengan penggunaan natrium selenite 200 μg bersekali dengan levothyroxine berbanding dengan plasebo bersekali dengan levothyroxine (14/18 berbanding 3/18, masing-masing). Selenomethionine 200 μg mengurangkan tahap serum antibodi anti-tiroid peroxidase dalam tiga kajian, dan walaupun perubahan dari sudut statistik, kaitan klinikal mereka, adalah tidak jelas. Kesan sampingan ada dilaporkan dalam dua kajian, dan selenium tambahan pula tidak membawa kepada kesan yang lebih buruk daripada apa yang dapat dilihat dengan plasebo. Satu kejadian kesan sampingan telah dilaporkan dalamkumpulan kedua-dua kajian yang menggunakan selenomethionine 200 μg bersekali dengan LT4 berbanding tiada di kumpulan kawalan.

Secara kesimpulannya, hasil empat kajian ini tidak menyediakan cukup bukti untuk menyokong penggunaan selenium dalam rawatan radang toroid Hashimoto.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB)Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information
Share/Save