Tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi untuk mencegah anemia dan kekurangan zat besi.

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui kesan pemerkayaan tepung jagung, hidangan jagung dan produk tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi untuk anemia dan status zat besi pada populasi umum. Kami mencari semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan dan menganalisa semua maklumat yang berkaitan.

Mesej utama

Tidak dapat dipastikan sama ada tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi dan vitamin dan mineral lain mengurangkan risiko kekurangan zat besi. Bukti adalah sangat tidak pasti untuk merumuskan sama ada tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi, tepung jagung atau produk tepung jagung yang diperkaya mempunyai sebarang kesan untuk mengurangkan risiko anemia atau meningkatkan hemoglobin dalam populasi. Kami tidak tahu sama ada tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi dapat mengurangkan anemia dalam populasi umum, kerana buktinya sangat tidak dapat dipastikan. Tidak ada kajian melaporkan sebarang kesan berbahaya.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kira-kira 496 juta wanita yang tidak hamil, 32 juta wanita hamil, dan 273 juta kanak-kanak dianggap menghidap anemia pada tahun 2011. Kekurangan zat besi dianggap sebagai kekurangan nutrien tunggal yang paling banyak berlaku di seluruh dunia, tetapi sekurang-kurangnya separuh daripada beban ini dianggap responsif terhadap intervensi yang melibatkan pemberian zat besi kepada orang. Memperkaya bermaksud menambahkan vitamin dan mineral kepada makanan untuk meningkatkan nilai pemakanannya. Dalam kesihatan awam, memperkaya makanan ruji dianggap sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kekurangan mikronutrien tanpa mengubah diet yang biasa dan diterima secara budaya.

Jagung adalah salah satu bijirin terpenting di dunia. Di sub-Sahara Afrika, beberapa bahagian di Asia Tenggara dan Amerika Latin, di mana kekurangan zat besi adalah endemik, jagung adalah makanan utama bagi lebih dari 200 juta orang. Pemerkayaan tepung jagung dengan besi (dan dalam beberapa kes, nutrien lain) adalah wajib di Brazil, Costa Rica, El Salvador, Kenya, Mexico, Nigeria, Rwanda, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda, Amerika Syarikat dan Venezuela.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menjumpai lima kajian yang relevan, tetapi tidak ada yang melihat kesan tepung jagung atau produk tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi sahaja. Lima kajian membandingkan kesan tepung jagung atau produk tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi ditambah vitamin dan mineral lain berbanding tepung jagung atau produk tepung jagung yang tidak diperkaya (tidak mengandungi zat besi atau vitamin dan mineral lain). Tiga dari lima kajian ini secara rawak membahagikan jumlah keseluruhan 2302 kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun dan 130 wanita orang asli ke dalam kumpulan yang menerima tepung jagung yang diperkaya berbanding dengan tepung jagung yang tidak diperkaya. Satu kajian berasal dari Kenya dan dua yang lain dilakukan di Mexico. Baki dua kajian tidak memberikan data untuk menilai kesan pemerkayaan relatif kepada kumpulan perbandingan. Tiga dari lima kajian yang dirangkumkan dibiayai oleh organisasi awam dan dua oleh dana yang diberikan oleh sektor swasta kepada universiti. Kehadiran pembiayaan industri untuk beberapa kajian ini nampaknya tidak mempengaruhi hasil kajian ini secara positif.

Tidak dapat dipastikan sama ada tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi dan vitamin dan mineral lain mengurangkan risiko kekurangan zat besi dalam populasi umum. Bukti adalah sangat tidak pasti untuk merumuskan sama ada tepung jagung yang diperkaya dengan zat besi, tepung jagung atau produk tepung jagung yang diperkaya mempunyai sebarang kesan untuk mengurangkan risiko anemia atau meningkatkan hemoglobin dalam populasi. Kami tidak pasti sama ada pemerkayaan tepung jagung dengan zat besi mengurangkan anemia dalam kalangan populasi umum.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Januari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Maziah Hanum Binti Osman (Universiti Putra Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information