Kesakitan kronik (iaitu kesakitan yang berterusan melebihi tiga bulan) adalah satu perkara yang biasa. Terapi psikologi (contohnya terapi tingkah laku kognitif) boleh membantu orang untuk menghadapi kesakitan, kemurungan dan ketidakupayaan yang boleh berlaku dengan kesakitan seperti ini. Rawatan-rawatan kini disampaikan melalui sesi rundingan pesakit luar hospital (secara bersemuka) atau seperti baru-baru ini melalui internet. Ulasan ini melihat bukti untuk terapi psikologi yang disampaikan melalui internet untuk orang dewasa dengan kesakitan kronik.
Carian telah dilakukan pada empat pengkalan data sehingga November 2013. Kami telah menemui 15 kajian percubaan yang menepati kriteria kemasukan kami. Empat percubaan telah melibatkan individu dengan kesakitan kepala, 10 percubaan telah melibatkan individu dengan kesakitan bukan berpunca dari kepala, dan satu percubaan telah melibatkan individu dengan kedua-dua kesakitan sakit kepala dan kesakitan bukan berpunca dari kepala. Kami telah melihat data mengenai kesakitan, ketidakupayaan, kemurungan, dan kegelisahan yang berlaku segera selepas rawatan berakhir dan antara sesi susulan pada 3 sehingga 12 bulan. Kami juga telah melihat kepuasan hati dengan rawatan-rawatan tersebut, dan kesannya ke atas kualiti hidup mereka.
Kami mendapati bahawa orang yang mempunyai sakit kepala, gejala-gejala kesakitan dan skor ketidakupayaan bertambah baik dengan segera selepas berakhirnya rawatan. Walau bagaimanapun, hanya dua percubaan yang boleh dimasukkan ke dalam setiap analisis ini, oleh itu penemuan tersebut harus dilayan dengan berhati-hati. Bagi orang yang mempunyai kesakitan yang bukan berpunca dari kepala, kesakitan, ketidakupayaan, kemurungan, dan kegelisahan telah bertambah baik selepas berakhirnya rawatan. Ketidakupayaan juga bertambah baik pada masa sesi susulan. Hanya satu kajian yang mencatatkan skor kualiti kehidupan dalam individu dengan sakit kepala, oleh itu kami tidak dapat menganalisis keputusan tersebut. Tiga kajian telah menunjukkan skor kualiti kehidupan segera selepas rawatan bagi individu dengan kesakitan yang bukan berpunca dari kepala. Kami tidak mendapati bahawa kualiti kehidupan telah bertambah baik selepas menerima terapi tersebut. Tiada data yang boleh dianalisis mengenai kepuasan/kebolehterimaan rawatan.
Kami menyimpulkan bahawa hasil-hasil carian ini menjanjikan hasil yang baik bagi rawatan psikologi yang disampaikan melalui internet untuk pengurusan kesakitan kronik dalam orang dewasa, tetapi lebih banyak kajian percubaan diperlukan untuk menentukan keberkesanan terapi-terapi sepert ini.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.