Paracetamol (acetaminophen) untuk duktus arteriosus paten dalam bayi pramatang atau berat lahir rendah

Soalan ulasan: Berapa berkesan dan selamat paracetamol, yang mempunyai sifat anti-radang yang lemah, berbanding dengan plasebo (bahan tanpa kesan terapi aktif), atau tiada intervensi, atau ubat anti-radang bukan steroid (indomethacin dan ibuprofen), untuk menutup PDA bayi pramatang / berat lahir rendah?

Latar belakang: Satu komplikasi yang biasa untuk bayi sangat pramatang atau sangat kecil adalah PDA ('patent ductus arteriosus' atau duktus arteriosus paten). Peredaran darah ke paru-paru yang tidak (belum lagi) berfungsi tidak diperlukan sebelum kelahiran (bekalan darah janin mendapat oksigen melalui plasenta). PDA adalah saluran darah janin sementara yang menghubungkan arteri pulmonari (saluran yang, selepas kelahiran, mengambil darah tanpa oksigen dari jantung ke paru-paru) ke aorta (saluran yang mengambil darah dengan oksigen, kembali dari paru-paru ke jantung oleh vena pulmonari, jauh dari jantung dan pada awal perjalanannya mengelilingi badan) Dalam erti kata lain, PDA menjadi 'litar pintas' peredaran darah janin melalui paru-paru Ia adalah perlu untuk mengekalkan kehidupan di dalam rahim, tetapi ia perlu ditutup selepas kelahiran. Kadang-kadang ia masih terbuka kerana peringkat perkembangan bayi yang kurang matang. PDA boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Rawatan yang biasa untuk PDA adalah indomethacin atau ibuprofen yang menghalang penghasilan prostaglandins dan menggalakkan penutupan PDA. Baru-baru ini paracetamol (acetaminophen), ubat yang biasa digunakan untuk merawat demam atau sakit pada bayi, kanak-kanak dan orang dewasa, telah dicadangkan sebagai alternatif kepada ibuprofen, dengan kemungkinan kurang kesan sampingan. Beberapa laporan kes dan siri kes telah mencadangkan bahawa paracetamol mungkin menjadi satu alternatif yang menarik untuk penutupan PDA. Cara sebenar paracetamol berfungsi untuk menutup PDA tidak diketahui, tetapi mungkin melibatkan penghambatan sintesis prostaglandin Prostaglandin adalah sebatian kimia yang dihasilkan di seluruh badan (iaitu bukan dalam mana-mana organ tertentu), terutamanya di mana sahaja tisu lembut rosak, dan penghasilannya (sintesis) memainkan peranan yang penting dalam proses penyembuhan. Prostaglandin dikenali untuk memainkan peranan penting dalam mengekalkan duktus arteriosus terbuka (paten), oleh itu, pengurangan penghasilan mereka akan menggalakkan penutupan duktus arteriosus

Ciri-ciri kajian: Kami mengenal pasti lapan kajian yang mendaftar 916 bayi pramatang dan membandingkan keberkesanan dan keselamatan paracetamol berbanding dengan ibuprofen dalam rawatan PDA dalam awal hayat.

Keputusan utama: Apabila keputusan kajian termasuk digabungkan, kadar kejayaan paracetamol untuk menutup PDA adalah lebih tinggi berbanding dengan plasebo dan sama berbanding ibuprofen dan indomethacin. Paracetamol nampaknya mempunyai kurang kesan buruk ke atas buah pinggang dan fungsi hati. Dalam satu kajian kecil yang mengikuti kanak-kanak ke umur antara 18 hingga 24 bulan tidak ada perbezaan dalam kemerosotan perkembangan neuro. Bukti ini adalah terkini sehingga November 2017.

Kesimpulan: Paracetamol kelihatan sebagai alternatif yang mempunyai harapan berbanding indomethacin dan ibuprofen untuk menutupkan PDA dengan kemungkinan kurang kesan buruk..

Kajian tambahan yang menguji intervensi ini dan melibatkan susulan jangka panjang diperlukan sebelum paracetamol boleh disyorkan sebagai rawatan standard untuk PDA dalam bayi pramatang. Beberapa kajian masih lagi dijalankan yang akan memberi maklumat tambahan pada masa hadapan. Oleh kerana terdapat laporan kemungkinan hubungan antara paracetamol pranatal dan perkembangan autisme atau gangguan spektrum autisme pada kanak-kanak dan kelewatan perkembangan bahasa pada perempuan, susulan jangka panjang untuk sekurang-kurangnya 18 hingga 24 bulan selepas kelahiran mesti dimasukkan dalam sebarang kajian paracetamol dalam populasi baru lahir

Kualiti bukti: Walaupun pengamal penjagaan kesihatan tidak 'buta' (tidak mengetahui ubat yang manakah bayi dalam kajian terima) kualiti kajian dinilai sebagai sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College) untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save