Splinting untuk sindrom carpal tunnel

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk membandingkan faedah dan bahaya splint pergelangan tangan tanpa rawatan atau jenis rawatan yang lain untuk mereka yang menghidapi sindrom carpal tunnel (CTS).

Latar belakang

CTS adalah satu keadaan di mana berlakunya tekanan pada salah satu saraf utama di pergelangan tangan. Ini boleh menyebabkan sakit di tangan dan pergelangan tangan serta kebas dan kesemutan di ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Mampatan yang teruk boleh mengakibatkan pembaziran otot tangan dan kehilangan ketangkasan tangan. CTS lebih biasa di kalangan wanita dan pada orang yang berumur lebih dari 50 tahun. 

Ramai orang menjalani pembedahan untuk merawat CTS, walaupun biasanya melalui rawatan bukan pembedahan, seperti splinting, suntikan kortikosteroid (ubat yang mengurangkan keradangan) atau latihan yang ditawarkan terlebih dahulu. Splinting melibatkan imobilisasi pergelangan tangan dalam kedudukan neutral (lurus), biasanya membolehkan jari dan ibu jari bebas untuk bergerak.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan tinjauan kami dan menemui 29 kajian yang menilai keselamatan dan manfaat splinting bagi orang dengan CTS. Umur purata peserta adalah antara 42 dan 60 tahun, bilangan peserta adalah 1937, dan 81% adalah wanita. Kebanyakannya mempunyai simptom ringan hingga sederhana.

Keputusan utama

Apabila dipakai kurang dari tiga bulan, splinting mungkin tidak memperbaiki simptom CTS dan mungkin tidak meningkatkan fungsi tangan berbanding tanpa intervensi. Walau bagaimanapun, orang yang menggunakan splint pada waktu malam cenderung melaporkan bahawa secara keseluruhannya mereka merasakan penambahbaikan berbanding dengan mereka yang tidak menggunakan splinting.

Dalam jangka masa panjang (lebih daripada 3 bulan), kami masih tidak pasti tentang manfaat splinting disebabkan oleh kajian yang berkurangan dan penemuan yang tidak konsisten di dalam kajian serupa. Kita tidak boleh mengatakan dengan pasti jika splinting memberikan peningkatan yang bermakna dalam simptom atau fungsi.  

Kami juga tidak pasti jika splinting mengurangkan keperluan pembedahan kerana hanya tiga kajian yang melaporkan hasil ini. Splinting boleh mengakibatkan kesan sampingan sementara seperti kesukaran tidur atau kesemutan sementara selepas mengeluarkan splint; tidak ada kajian yang melaporkan sebarang kesan sampingan yang serius. Tiada kajian yang melaporkan sama ada splint menambahbaikan kualiti hidup.

Beberapa kajian menilai jika splinting menambahbaikan hasil apabila digabungkan dengan rawatan lain. Keputusannya menunjukkan bahawa splinting boleh membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan kepada hasil apabila digunakan bersama dengan suntikan kortikosteroid atau dengan pelbagai jenis rehabilitasi. 

Splinting dibandingkan dengan jenis rawatan yang lain. Splinting nampaknya tidak menambahbaikan hasil berbanding dengan kortikosteroid (suntikan atau oral), latihan, kinesiologi mengguna pita (pita tegang), pita tegar, dan mungkin tidak meningkatkan hasil berbanding dengan plasma kaya-platelet (plasma dan platelet pekat yang berasal dari darah) atau rawatan gelombang kejutan ekstrakorporal (denyutan bunyi tenaga tinggi). 

Beberapa kajian membandingkan rejimen memakai splint yang berbeza. Satu kajian menemui bahawa enam bulan splinting boleh memperbaiki simptom dan fungsi berbanding dengan enam minggu splinting. Satu kajian lain mendapati bahawa splinting sepenuh masa mungkin tidak menambahbaikan hasil berbanding dengan splinting waktu malam.

Rumusan pengarang

Pada masa ini, terdapat bukti terhad yang menyokong penggunaan splint pergelangan tangan untuk merawat CTS kerana terdapat sedikit kajian dan penemuannya tidak konsisten. Walaupun nampaknya splinting mungkin tidak mengakibat simptom lebih teruk atau mengakibatkan kesan sampingan, splinting boleh memberikan sedikit atau tiada manfaat untuk simptom CTS dan fungsi tangan, terutama dalam jangka pendek (kurang dari 3 bulan). Satu kajian menunjukkan bahawa splinting waktu malam boleh meningkatkan peluang pemulihan keseluruhan berbanding tanpa rawatan. Manfaat splinting boleh berlaku selepas penggunaan beberapa bulan, tetapi kita memerlukan kajian penyelidikan yang direka dengan baik untuk menentukan seberapa keberkesanan splinting, dan untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menggunakan splinting (penggunaan waktu malam atau sepenuh masa; penggunaan jangka panjang atau jangka pendek). 

Splinting agak murah dan tidak mengakibatkan kesan sampingan jangka panjang yang diketahui. Oleh itu, bahkan faedah kecil boleh membenarkan penggunaannya pada orang yang tidak berminat dengan intervensi invasif seperti pembedahan. 

Kepastian bukti

Orang dalam kajian menyedari rawatan mereka. Pengetahuan ini dapat menghasilkan penilaian manfaat yang lebih baik daripada ketika orang tidak menyedari rawatan ('buta'). Dalam beberapa kajian yang mengkaji rawatan dan hasil yang sama, penemuan tidak konsisten. 

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh. Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information