Sokongan psikososial untuk penjaga tidak formal bagi pesakit yang menghidapi kanser

Latar belakang

Semakin banyak individu yang bukan pakar kesihatan yang menyediakan penjagaan untuk pasangan, keluarga atau kawan yang terjejas oleh kanser, yang boleh mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan dan kesejahteraan mereka. Intervensi psikososial yang mengandungi sokongan psikologi atau sosial dan melibatkan interaksi secara langsung antara pakar dan penjaga penjagaan kesihatan (atau pasangan penjaga-pesakit) boleh membantu untuk menangani kesan kesihatan negatif terhadap penjaga.

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan intervensi psikososial berbanding dengan penjagaan biasa oleh penjaga yang tidak formal bagi menjaga pesakit yang menghidapi kanser terhadap pelbagai hasil yang berkaitan dengan kesihatan dan kejahteraan?

Keputusan

Penyelidik telah mendapati 19 kajian yang membandingkan intervensi psikologisosial dengan penjagaan biasa, seramai hampir empat ribu peserta yang terlibat di dalam kajian-kajian tersebut. Kajian memsukkan penjaga pesakit yang terjejas oleh kanser yang berbeza pada semua peringkat penyakit tersebut. Terdapat perbezaan dalam pembentukan intervensi . Contoh intervensi termasuklah menyediakan maklumat dan/atau mengajar penjaga (atau pasangan penjaga-pesakit) tentang kemahiran mengatasi, komunikasi atau menyelesaikan masalah untuk menguruskan gejala-gejala atau memperbaiki hubungan. Intervensi telah disampaikan oleh jururawat, ahli psikologi atau pakar lain melalui telefon kepada pesakit luar atau yang berada di rumah.

Terdapat manfaat minimum yang mungkin terhadap kualiti kehidupan penjaga sejurus selepas intervensi, namun hal ini mungkin tidak kekal. Intervensi psikososial mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup pesakit enam hingga 12 bulan selepas intervensi, tetapi kami tidak pasti sama ada intervensi akan meningkatkan kualiti hidup untuk pesakit dengan serta-merta selepas intervensi.

Intervensi psikososial mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap kemurungan, kebimbangan, kesusahan dan kesihatan fizikal penjaga dan kebimbangan dan kesusahan pesakit pada bila-bila masa selepas intervensi, atau terhadap kemurungan pesakit sejurus selepas intervensi dan kesihatan fizikal pesakit enam hingga 12 bulan selepas intervensi. Intervensi psikososial mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap kesihatan fizikal pesakit sejurus selepas intervensi atau kemurungan pesakit tiga hingga enam bulan selepas intervensi.

Tiga kajian telah melaporkan kesan buruk termasuk peningkatan kesukaran dan gangguan berkaitan fungsi seksual dan penurunan tahap kepuasan hubungan bagi penjaga, peningkatan tahap kesukaran bagi pesakit, dan kandungan intervensi yang dilihat sebagai tidak sesuai bagi sesetengah peserta. Tiada kajian yang meneliti keberkesanan kos atau kepuasan intervensi terhadap penjaga atau pesakit. Oleh kerana secara umumnya kualiti dapatan adalah rendah, penemuan mesti kendalikan dengan berhati-hati.

Kesimpulan

Intervensi psikososial tidak memberi kesan yang bermakna secara klinikal untuk penjaga tanpa mengira tahap dan jenis pesakit kanser. Mungkin, hasil lain (cth. kualiti hubungan) atau intervensi psikososial yang lain (cth. meditasi) mungkin lebih membantu untuk penjaga. Intervensi harus tertakluk kepada perlaksanaan kajian-kajian yang lebih baik. Pembangunan intervensi harus melibatkan penjaga dan memberi perhatian terutamanya kepada keperluan peribadi inidvidu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Asmaliza Mohd Noor (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information