Intervensi sokongan untuk menambah baik pengambilan diet dalam kumpulan yang pemakanan mereka mudah terjejas.

Soalan ulasan

Adakah intervensi sokongan untuk menambah baik pengambilan diet dalam kumpulan yang pemakanan mereka mudah terjejas (individu yang kekurangan zat atau berisiko dari segi pemakanan) berkesan?

Latar belakang

Menghidangkan makanan di ruang makan, atau penggunaan pembantu untuk membantu memberi makan kepada individu yang memerlukan dan kaedah lain yang serupa selalunya disyorkan untuk membantu terutamanya orang yang sakit dan warga emas yang telah kehilangan atau berkemungkinan turun berat badan (kumpulan yang pemakanan mereka mudah terjejas). Intervensi sokongan sedemikian dilaksanakan dalam penjagaan kesihatan di kebanyakan negara tetapi kesannya tidak disiasat dengan baik.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 41 kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang meletakkan individu secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan sejumlah 10,681 individu dalam ulasan kami. Terdapat lima intervensi berbeza yang kami panggil 'intervensi sokongan': perubahan kepada organisasi penjagaan pemakanan (13 kajian, 3456 individu), perubahan kepada persekitaran pemakanan (5 kajian, 351 individu), pengubahsuaian profil atau corak makanan (12 kajian, 649 individu), penambahan makanan tambahan (10 kajian, 6022 individu) dan sistem penghantaran makanan ke rumah (1 kajian, 203 individu). Pemantauan peserta dari semasa ke semasa (susulan) adalah antara 'tempoh penginapandi hospital' hingga 12 bulan. Kumpulan pembanding menerima penjagaan 'biasa'. Lebih separuh daripada semua peserta mengambil bahagian dalam kajian yang menyiasat penambahan makanan tambahan (contohnya makanan tambahan oral tenaga protein sebagai penambah kepada diet biasa).

Keputusan utama

Ada kemungkinan bahawa intervensi sokongan untuk meningkatkan pengambilan diet dalam kumpulan yang pemakanan mereka mudah terjejas mengurangkan kematian akibat sebarang sebab (kira-kira kurang 23 kes kematian dalam setiap 1000 peserta memihak kepada intervensi sokongan). Walau bagaimanapun, hal ini perlu disahkan oleh lebih banyak bukti daripada kajian rawak terkawal berkualiti tinggi. Bilangan peserta yang mengalami sebarang komplikasi perubatan tidak mempunyai perbezaan yang ketara antara kumpulan intervensi sokongan dan pembanding. Perkara yang sama didapati untuk kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (iaitu kesihatan fizikal, mental, emosi dan sosial yang dikaitkan dengan kesihatan), kepuasan pesakit, pemakanan atau pengambilan tenaga dan hari-hari yang dihabiskan di hospital. Kos ekonomi tidak disiasat dengan baik.

Hanya tiga kajian yang melaporkan tentang kesan sampingan, menerangkan kurang toleransi terhadap pemakanan tambahan (seperti cirit-birit atau muntah dalam 5 daripada 34 peserta) dan pemberhentian pemakanan tambahan oral kerana keengganan atau tidak menyukai rasa (567 daripada 2017 peserta).

Selepas menganalisis 15 kajian dalam 1945 peserta, kami mendapati manfaat kesan intervensi sokongan berbanding dengan kumpulan pembanding dari segi berat badan: secara purata individu dalam kumpulan intervensi sokongan mengalami peningkatan berat badan mereka 0.6 kg lebih daripada individu dalam kumpulan pembanding.

Bukti ini adalah terkini setakat September 2016.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah antara sederhana hingga sangat rendah, terutamanya kerana bagi kebanyakan hasil kami hanya sedikit kajian dan peserta untuk mencapai maklumat yang boleh dipercayai, atau kerana risiko berat sebelah menjadikan keputusan tidak menentu. Walau bagaimanapun, jika beberapa kajian rawak terkawal dengan risiko berat sebelah lebih rendah untuk hasil yang penting bagi pesakit kami dan bilangan peserta yang baik telah dilakukan, ulasan ini boleh memberikan panduan ringkas yang baik untuk penjagaan kesihatan lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Nusaibah. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information