Bolehkah terapi kognitif tingkah laku mengurangkan tingkah laku seksual yang berbahaya dalam kalangan remaja?

Latar belakang

Kira-kira satu daripada setiap 1000 orang muda berusia 12 hingga 17 tahun melibatkan diri dalam tingkah laku seksual yang berbahaya seperti membuat kanak-kanak yang lain melakukan aktiviti seksual. Ada yang disabitkan dengan kesalahan seksual. Banyak program rawatan melibatkan teknik kognitif tingkah laku, disesuaikan dengan keperluan individu. Terapi kognitif tingkah laku (CBT) adalah berdasarkan teori bahawa mengubah cara seseorang berfikir membantu mengubah tingkah laku. Ia telah digunakan untuk orang dewasa, tetapi tidak diketahui jika ia berkesan untuk remaja dengan tingkah laku seksual yang berbahaya.

Soalan ulasan

Adakah CBT lebih baik untuk mengurangkan tingkah laku seksual yang berbahaya dalam remaja daripada tiada rawatan atau rawatan alternatif? Kami melihat kepada bukti mengenai kesan CBT terhadap kadar kesalahan dan kesan buruk seperti mencederakan diri. Kami juga mengkaji kesejahteraan emosi dan psikologi peserta, serta sikap dan tingkah laku seksual mereka.

Carian tarikh

Pada bulan Jun 2019, kami mencari banyak pangkalan data untuk kajian rawak terkawal yang membandingkan CBT dengan tiada rawatan atau rawatan lain. Kajian rawak terkawal menggunakan kaedah rawak (seperti melontar syiling) untuk menentukan sama ada seseorang menerima rawatan yang berbeza atau tiada rawatan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui empat kajian kecil yang melibatkan sejumlah 115 lelaki muda yang menunjukkan tingkah laku seksual yang berbahaya. Dalam dua kajian, peserta berusia 12 hingga 18 tahun. Dalam dua kajian yang lain peserta lelaki hanya digambarkan sebagai “remaja”.

Tiga kajian dijalankan di AS dan satu di Afrika Selatan. Kajian adalah singkat. Satu bertahan selama dua bulan; dua bertahan selama tiga bulan; satu bertahan selama enam bulan. Kami tidak mengetahui siapa yang membiayai kajian-kajian ini.

Dua kajian (39 peserta) membandingkan CBT dengan tiada rawatan atau rawatan seperti biasa. Satu kajian (16 peserta) membandingkan CBT dengan program pendidikan seksual. Satu kajian membandingkan CBT (19 peserta) dengan terapi penyahaktifan mod (pendekatan yang eksplisit, sistematik, berorientasikan matlamat untuk menangani emosi, tingkah laku dan pemikiran yang bermasalah) (21 peserta) dan latihan kemahiran sosial (pengembangan kemahiran sosial dan permainan peranan) (20 peserta). Dalam tiga kajian, CBT disampaikan di persekitaran tempat kediaman oleh seseorang yang bekerja di sana. Dalam kajian keempat, ia disampaikan dalam komuniti oleh ahli terapi berlesen yang belajar untuk PhD.

Keputusan utama

Satu kajian (59 peserta) meneliti sama ada CBT mengurangkan tingkah laku seksual yang berbahaya, atau menyebabkan peserta kurang cenderung untuk melakukan kesalahan. Ia memberikan kepastian bukti yang sangat rendah yang menunjukkan CBT mengurangkan keagresifan seksual selepas intervensi. Ini adalah serupa dengan rawatan lain seperti terapi penyahaktifan mod dan latihan kemahiran sosial. Tiada kajian meneliti sama ada ia mempunyai akibat yang tidak diingini seperti mencederakan diri.

Satu kajian (59 peserta) mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam cara CBT meningkatkan kesejahteraan psikologi berbanding dengan rawatan lain (kepastian bukti sangat rendah). Satu kajian (18 peserta) menunjukkan CBT bermakna lelaki muda memahami bagaimana tingkah laku mereka menjejaskan mangsa mereka, berbanding dengan kumpulan tiada rawatan (kepastian bukti sangat rendah). Satu kajian (21 peserta) mengukur perkara ini, tetapi melaporkan tiada data yang boleh digunakan.

Dua kajian meneliti sama ada CBT menambah baik jenis pemikiran yang dikaitkan dengan tingkah laku seksual yang berbahaya (sikap dan tingkah laku seksual). Salah satu daripadanya (21 peserta) membandingkan CBT dengan rawatan seperti biasa. Ia tidak menemui bukti yang ia membuat perbezaan. Kajian lain (16 peserta) membandingkan CBT dengan pendidikan seksual. Ia mendapati CBT menambah baik beberapa jenis penyelewengan kognitif. Satu kajian (18 peserta) melaporkan tiada perbezaan yang signifikan di antara CBT dan tidak menerima rawatan terhadap penyelewengan kognitif umum mengenai tingkah laku seksual (kepastian bukti sangat rendah).

Kepastian tentang bukti

Kami tidak dapat mengatakan sama ada CBT mengurangkan tingkah laku seksual yang berbahaya dalam remaja lelaki. Empat kajian tersebut mempunyai saiz sampel yang sangat kecil. Keseluruhannya, terdapat kepastian bukti yang sangat rendah bahawa CBT berasaskan kumpulan mungkin meningkatkan empati mangsa berbanding tiada rawatan, dan mungkin menambah baik penyelewengan kognitif berbanding pendidikan seksual, tetapi tidak bagi rawatan seperti biasa. Kepastian yang sangat rendah bagi bukti ini bermakna bahawa keputusan berkemungkinan akan berubah apabila kajian lebih lanjut dijalankan. Tiada kajian mengkaji impak CBT terhadap perempuan dengan tingkah laku seksual yang berbahaya. Adalah sukar untuk menilai seberapa baik kajian-kajian tersebut dijalankan. Laporan sedia ada tidak menyediakan maklumat yang mencukupi atau dinilaikan mempunyai risiko bias yang tinggi dalam beberapa bahagian. Lebih banyak kajian rawak terkawal yang lebih berkualiti bagi CBT berasaskan individu dan kumpulan adalah diperlukan, terutamanya di luar Amerika Utara. Penilaian juga perlu merangkumi peserta yang lebih pelbagai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save