Interleukin-2 sebagai tambahan kepada terapi antiretroviral untuk orang dewasa HIV-positif

Mengapakah kami melaksanakan ulasan ini?

HIV masih merupakan punca utama kematian di seluruh dunia, terutamanya di Afrika. HIV bertambah biak di dalam darah dan merosakkan sistem imun. Oleh itu jika HIV-positif, seseorang adalah lebih senang terjangkit dengan penyakit. Rawatan ubat semasa, terapi antiretroviral (ART), menghentikan virus daripada bertambah, dan dengan itu, membolehkan sistem imun badan untuk pulih. Interleukin-2 (IL-2) adalah protein di dalam badan yang membantu proses penambahan sel darah putih iaitu sel-sel yang melawan jangkitan. Walaupun IL-2 meningkatkan jumlah sel-sel putih kami tidak tahu jika dengan ini kami boleh menambah manfaat tambahan kepada penggunaan ART semata-mata. Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui jika penggunaan rawatan tambahan dengan terapi antiretroviral (ART), iaitu IL-2, berbanding dengan hanya menggunakan ART, boleh mengurangkan penyakit dan kematian dalam orang dewasa yang HIV-positif.

Mesej utama

Kami mendapati bahawa IL-2 boleh meningkatkan sel imun CD4 (bukti kepastian tinggi). Walau bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan dalam kesan yang penting seperti kematian dan jangkitan-jangkitan lain (bukti kepastian tinggi). Mungkin terdapat peningkatan kesan sampingan untuk orang-orang yang menggunakan IL-2 (bukti kepastian sederhana). Penemuan kami tidak menyokong penggunaan IL-2 sebagai rawatan tambahan kepada ART dalam orang dewasa yang HIV-positif.

Keputusan utama

Selepas menjalankan carian yang komprehensif pada 26 Mei 2016, kami telah melibatkan 25 ujian yang layak yang dilaksanakan di enam negara. Tidak ada perbezaan dalam jumlah kematian antara kumpulan IL-2 dan kumpulan yang mendapat hanya ART (6 ujian, 665 peserta, bukti kepastian tinggi). Tujuh belas daripada 21 kajian melaporkan peningkatan dalam jumlah sel CD4 dengan penggunaan IL-2 berbanding dengan hanya ART dengan menggunakan ukuran yang berbeza. Secara keseluruhannya, tidak ada perbezaan dalam jumlah peserta dengan beban virus tertahan kurang daripada 50 sel/mL (5 ujian, 805 peserta, bukti kepastian tinggi) atau kurang daripada 500 sel/mL pada penghujung kajian (4 ujian, 5029 peserta, bukti kepastian tinggi). Secara keseluruhan, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kejadian jangkitan oportunistik (7 ujian, 6141 peserta,bukti kepastian rendah). Mungkin ada pertambahan peristiwa kesan sampingan gred 3 atau 4 (6 ujian, 6291 peserta, bukti kepastian sederhana). Tiada kajian yang termasuk yang melaporkan mengenai pematuhan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information