Niacin untuk orang dengan atau tanpa penyakit kardiovaskular yang diketahui

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti-bukti tentang kesan niacin dalam pencegahan kematian dan penyakit kardiovaskular.

Latar belakang

Serangan jantung dan strok adalah punca kematian yang lazim, penyakit, kecacatan dan pengurangan kualiti hidup di negara-negara perindustrian.

Niacin (asid nikotinik, vitamin B3) dianggap berupaya untuk mencegah penyakit kardiovaskular kerana ia dikenali dapat mengurangkan kolesterol dalam darah, yang merupakan salah satu faktor risiko utama. Oleh itu, terapi niacin jangka panjang dianggap dapat mengurangkan risiko serangan jantung, dan strok. Kami menilai sama ada kajian klinikal boleh menunjukkan manfaat mengambil niacin.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 23 kajian melibatkan 39,195 peserta yang membandingkan niacin dengan plasebo. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2016. Majoriti peserta berumur purata umur 65 tahun dan pernah mengalami infarksi miokardium. Para peserta mengambil niacin atau plasebo untuk tempoh di antara enam bulan hingga lima tahun. Tujuh belas daripada 23 kajian dibiaya sepenuhnya atau separa oleh pengilang ubat dengan minat komersil dalam hasil kajian.

Keputusan utama

Niacin tidak mengurangkan bilangan kematian, serangan jantung atau strok. Ramai orang (18%) terpaksa berhenti mengambil niacin akibat kesan sampingan. Keputusan adalah tidak berbeza di antara peserta yang telah atau tidak pernah mengalami serangan jantung sebelum mengambil niacin. Keputusan juga tidak berbeza di antara peserta yang telah atau tidak mengambil statin (satu lagi ubat yang mencegah serangan jantung dan strok). Kualiti keseluruhan bukti adalah sederhana hingga tinggi.

Kesimpulannya, kami mendapati tiada bukti manfaat daripada terapi niacin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information