Terapi tingkah laku kognitif berkumpulan untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah terapi tingkah laku kognitif berkumpulan (terapi bercakap) yang menyasarkan psikosis (CBTp) adalah lebih berkesan daripada penjagaan standard (penjagaan yang biasanya diterima oleh seseorang) atau bentuk terapi bercakap lain (contohnya, kaunseling, terapi sokongan; sama ada berkumpulan atau individu) untuk orang dengan skizofrenia?

Apakah skizofrenia?

Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius. Ciri-cirinya adalah khayalan (kepercayaan pelik), halusinasi (melihat atau mendengar perkara yang tidak ada), gejala negatif (penarikan diri sosial, sikap tidak peduli) dan tingkah laku yang tidak teratur. Ubat-ubatan yang dikenali sebagai antipsikotik adalah rawatan utama tetapi tidak selalunya berkesan untuk mengurangkan gejala negatif skizofrenia. CBTp telah dicadangkan sebagai rawatan tambahan yang berguna kepada ubat untuk orang yang mempunyai penyakit mental, tetapi bukti keberkesanannya untuk orang yang mengalami skizofrenia adalah tidak pasti. CBTp biasanya merupakan terapi individu tetapi juga boleh dilakukan kepada sekumpulan orang, yang mungkin lebih menjimatkan kos. Adalah penting untuk mengetahui sama ada CBTp berkumpulan untuk orang dengan skizofrenia berkesan dan boleh diterima.

Apa yang telah kami lakukan?

Pakar Maklumat Skizofrenia Cochrane menjalankan carian elektronik bagi pendaftaran khusus mereka sehingga 10 Februari 2021 untuk ujian klinikal rawak CBTp berkumpulan berbanding penjagaan standard atau terapi psikososial lain (sama ada berkumpulan atau individu) bagi orang dengan skizofrenia.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 24 kajian melibatkan 1900 peserta yang memenuhi keperluan semakan dan menyediakan data yang boleh digunakan. Semua kajian membandingkan CBTp berkumpulan dengan terapi standard. Bukti kami menunjukkan tiada perbezaan yang ketara antara CBTp berkumpulan dan penjagaan standard atau campur tangan psikososial lain dari segi bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal. CBTp berkumpulan mungkin lebih baik daripada penjagaan standard atau campur tangan psikososial lain untuk keadaan mental keseluruhan bagi jumlah simptom skizofrenia. CBTp berkumpulan nampaknya tidak menunjukkan perbezaan bagi gejala positif dan negatif skizofrenia berbanding penjagaan standard atau campur tangan psikososial yang lain. CBTp berkumpulan nampaknya lebih baik daripada penjagaan standard atau campur tangan psikososial lain dari segi fungsi keseluruhan. Tiada perbezaan nyata antara kumpulan rawatan bagi bilangan peserta yang dimasukkan ke hospital untuk CBTp berkumpulan berbanding dengan penjagaan standard atau campur tangan psikososial lain.

Kesimpulan

CBTp berkumpulan nampaknya lebih baik daripada penjagaan standard atau campur tangan psikososial lain dari segi fungsi keseluruhan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kajian dengan saiz sampel yang lebih besar dan risiko bias yang rendah perlu dijalankan. Hasil jangka panjang perlu ditangani untuk menentukan sama ada sebarang kesan adalah sementara atau tahan lama. Kajian klinikal dapat meningkatkan kualiti pelaporan data mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Darlina Hani Fadil Azim (Perdana University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information