Adakah intervensi psikologi berkesan untuk orang yang mempunyai kedua-dua gangguan kemurungan dan penggunaan dadah?

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada intervensi psikologi (diberi dengan atau tanpa farmakoterapi) adalah berkesan untuk rawatan gangguan kemurungan komorbid dan penggunaan dadah. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Tiada kesimpulan yang boleh dibuat tentang keberkesanan intervensi psikologi untuk rawatan gangguan kemurungan komorbid dan penggunaan dadah, disebabkan sedikit jumlah kajian yang dijumpai dan kualiti bukti yang sangat rendah. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan yang membandingkan intervensi psikologi dengan tanpa rawatan, rawatan tertunda, rawatan seperti biasa dan intervensi psikologi yang lain.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Komorbiditi berlaku pada orang yang mengalami gangguan mental apabila orang yang sama mempunyai dua atau lebih gangguan mental. Mereka yang didiagnosis dengan gangguan kemurungan lebih cenderung untuk mengalami penggunaan dadah, dan sebaliknya. Gangguan komorbid dikaitkan dengan hasil klinikal, sosial dan vokasional yang lebih buruk berbanding mana-mana gangguan tunggal. Rawatan psikologi untuk gangguan kemurungan komorbid dan penggunaan dadah boleh didapati, tetapi agak sedikit yang telah diuji. Rawatan ini mensasarkan psikologi (fikiran, perasaan, tingkah laku), sosial (hubungan keluarga dan peribadi), dan faktor risiko alam sekitar (akses kepada ubat) untuk kemurungan dan penggunaan dadah.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian dan mendapati tujuh kajian terkawal rawak yang melibatkan 608 orang dengan gangguan kemurungan komorbid dan penggunaan dadah yang telah diterbitkan antara tahun 2003 dan 2014. Kesemua tujuh kajian ini telah diterbitkan di Amerika Syarikat dan kebanyakannya terdiri daripada individu berlatar belakang Kaukasia. Tiada kesimpulan yang boleh dibuat tentang keberkesanan intervensi psikologi yang diberikan dengan atau tanpa farmakoterapi, kerana tidak ada kajian yang dijumpai yang membandingkan intervensi-intervensi ini dengan tanpa rawatan, rawatan tertunda atau rawatan yang biasa. Kesemua tujuh kajian membandingkan pelbagai jenis atau gabungan rawatan psikologi. Terdapat sedikit perbezaan yang konsisten ditemui dalam hasil rawatan kemurungan atau penggunaan dadah. Tiada kesimpulan yang boleh dibuat tentang jenis intervensi psikologi yang paling berkesan, kerana sedikit kajian yang dijumpai dan kualiti bukti yang sangat rendah. Tiada kajian yang melaporkan sebarang bahaya yang berkaitan dengan menerima rawatan psikologi untuk gangguan kemurungan dan penggunaan dadah. Semua kajian dibiayai oleh geran penyelidikan universiti dan kerajaan di Amerika Syarikat.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information