L-carnitine untuk peningkatan kognitif terhadap orang tanpa gangguan kognitif

Latar belakang

Kognitif (atau fungsi kognitif) ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan kemahiran berfikir, termasuk perhatian, ingatan, dan penaakulan. Suplemen dan ubat-ubatan kadangkala digunakan oleh orang yang sihat untuk cuba meningkatkan fungsi kognitif dan melaksanakan kerja dengan lebih baik di tempat kerja atau semasa belajar. Suplemen dan ubat-ubatan ini dikenali sebagai peningkat kognitif. L-carnitine, yang dijumpai secara semula jadi di dalam makanan seharian, terutamanya dalam daging, tetapi juga boleh juga dihasilkan di dalam badan, telah dicadangkan sebagai peningkat kognitif yang mungkin. Ia dijual sendiri sebagai supplemen diet dan dijumpai dalam sesetengah supplemen campuran atau ‘minuman tenaga’. Dalam ulasan ini, kami telah mencari kajian klinikal di mana orang sihat yang mengambil L-carnitine dibandingkan dengan orang serupa yang mengambil pil tiruan (plasebo). Kami berharap untuk mempelajari sama ada atau tidak L-carnitine meningkatkan fungsi kognitif dan sama ada ia dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan.

Keputusan

Kami telah menemui hanya dua kajian untuk disertakan dalam ulasan ini. Satu kajian telah merawat kira-kira 200 peserta dengan L-carnitine atau plasebo untuk tiga hari; kajian yang lain hanya merawat 18 peserta dengan hanya satu dos L-carnitine. Kedua-dua kajian telah menyertakan orang muda yang sihat dengan purata umur kira-kira 21. Kajian tersebut telah mengukur aspek kognitif yang berbeza yang menggunakan ujian berbeza. Kajian yang lebih kecil hanya dilaporkan sebagai abstrak, dan tidak ada data yang berguna, walaupun pengarang-pengarang mengatakan bahawa mereka tidak menemui bukti tentang kesan L-carnitine terhadap fungsi kognitif. Maklumat penting telah hilang daripada kertas yang menerangkan percubaan lain, tetapi kami tidak menjumpai sebarang bukti bahawa L-carnitine mempunyai sebarang kesan terhadap mana-mana aspek kognitif yang telah diukur. Hanya laporan kajian yang lebih besar yang menyatakan kesan-kesan sampingan rawatan, di mana telah dinyatakan sebagai minor dan berlaku secara sama rata di kalangan mereka yang telah menerima L-carnitine dan mereka yang menerima plasebo.

Kualiti bukti

Ia sukar untuk menilai kualiti kajian yang telah disertakan secara betul disebabkan oleh pelaporan yang lemah. Kami telah menganggap terdapat risiko bias yang serius disebabkan oleh kaedah kajian yang lemah, dan juga ketidakpastian keputusan disebabkan oleh kajian yang kecil. Kami juga telah menganggap kajian terlalu pendek untuk menjawab soalan penyelidikan kami dengan secukupnya. Disebabkan oleh faktor-faktor tersebut, kami telah menganggap kualiti bukti ini sebagai sangat rendah.

Kesimpulan

Memandangkan jumlah bukti yang terhad yang berkualiti rendah, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang keberkesanan L-carnitine terhadap fungsi kognitif atau keselamatan dalam orang yang sihat. Kajian yang lebih besar dan berkualiti dijalankan dalam tempoh yang lebih panjang adalah diperlukan untuk menjawab soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information