Terapi luka tekanan negatif bagi penyembuhan luka pembedahan dengan penutupan primer

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti keberkesanan terapi luka tekanan negatif (NPWT) bagi mencegah jangkitan di kawasan pembedahan (SSI).

Latarbelakang

Jangkitan sekitar kawasan pembedahan merupakan jangkitan luka yang kerap terjadi di tempat belahan pembedahan. Insidens SSI ini mungkin setinggi 40% bagi sesetengah jenis pembedahan, dan mungkin lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan seperti diabetis atau barah. Jangkitan di kawasan pembedahan menambah ketidak selesaan pesakit, tempoh tinggal di hospital, dan kos rawatan.

Terapi luka tekanan negatif adalah dresing luka tertutup yang dihubungkan ke pam vakum yang menyedut cecair daripada luka, cara ini difikirkan dapat menggalakkan penyembuhan luka dan mencegah jangkitan. Di dalam ulasan versi 2014 yang lebih awal, kami menemui keberkesanan NPWT yang tidak jelas. Kemaskini terbaru ini melibatkan keputusan kajian-kajian baru yang telah dilakukan sejak daripada waktu tersebut.

Ciri-ciri kajian

Dalam Febuari 2018 kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta dibahagikan kepada satu atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan NPWT dengan pengubatan lain atau dengan NPWT jenis lain bagi pencegahan SSI. Kami menemui 25 kajian tambahan, menghasilkan sejumlah 30 kajian (2957 peserta), dan dua kajian ekonomi. Jenis pembedahan termasuk pembedahan abdomen, pembedahan caesarean, pembedahan sendi, dan lain-lain. Kajian-kajian yang terlibat adalah kecil, kebanyakannya melibatan kurang dari 100 peserta.

Keputusan-keputusan utama

Bukti berkepastian rendah menunjukkan NPWT mungkin mengurangkan insidens SSI. Kami tidak pasti jika NPWT mengurangkan insidens kematian, dehisens (pembukaan semula luka), seroma (cecair lebihan bawah luka), hematoma (kejadian darah beku pada luka), kemasukan semula ke hospital, atau pembedahan ulangan. Tidak dapat dipastikan adakah NPWT menghasilkan lebih banyak kulit melepuh disebabkan dresing, atau sama ada kos rawatan adalah lebih secra purata berbanding dengan dresing standard. Keputusan dari satu kajian mencadangkan NPWT mungkin lebih menjimatkan berbanding dengan penjagaan standard bilamana impak SSI ke atas tempoh tinggal di hospital dan kos-kos hospital yang lain diambil kira.

Kualiti bukti

Kebanyakan keputusan kami adalah berlandaskan bukti yang berkepastian sangat rendah, menyebabkan ketidakpastian yang tinggi ke atas penemuan-penemuan kami. Ini disebabkan kekurangan maklumat mengenai kaedah yang digunakan dalam kajian atau kurang mematuhi beberapa standard utama yang diperlukan dalam pelaksanaan kajian-kajian rawak yang terkawal. Tambahan pula, bila kajian melibatkan bilangan peserta yang terlalu sedikit, ianya tidak dapat dinilai dengan tepat jika NPWT menghasilkan lebih manfaat ataupun bahaya. Untuk menambah keyakinan dalam keputusan-keputusan kami, lebih banyak kajian berkualiti tinggi dan dibiayai secara bebas diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save