Terapi luka menggunakan kaedah tekanan negatif bagi penyembuhan luka pembedahan dengan penutupan primer

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Kajian Cochrane ini adalah bagi mencari bukti apakah terapi luka tekanan negatif (NPWT) mempengaruhi terjadinya komplikasi seperti jangkitan pada luka pembedahan yang sembuh dengan penutupan primer (di mana kedua hujung luka disatukan, biasanya dengan menggunakan jahitan ataupun staples) dan untuk menilai keberkesanan kosnya. Kami mengumpulkan dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 44 kajian menganalisa komplikasi NPWT dan komplikasi di tempat pembedahan, dan lima kajian menganalisa keberkesanan kos. Ini adalah kemas kini baru ulasan Cochrane yang kali terakhirnya dikemaskini pada Mac 2019.

Mesej utama

NPWT mungkin mengurangkan terjadinya jangkitan di tempat pembedahan (SSI-surgical site infection) pada penyembuhan luka pembedahan dengan penutupan primer - ini adalah bukti kepastian sederhana dan kajian baru mungkin akan mengubah keputusan ini. Tidak dapat dipastikan kesan NPWT terhadap luka terbuka semula ("dehiscence") dan risiko kematian - ini adalah bukti kepastian rendah. Hasil komplikasi lain juga tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dengan rawatan NPWT. NPWT mungkin menjimatkan kos bagi rawatan luka caesarean pada wanita gemuk dan mungkin tidak menjimatkan kos untuk luka pembedahan tulang patah. Bukti keberkesanan kos NPWT pada luka pembedahan lain adalah kurang jelas.

Apa yang telah dikaji di dalam ulasan ini?

Potensi komplikasi pembedahan adalah mendapat SSI (jangkitan) yang boleh berlaku di bahagian yang dibedah. Kejadian SSI bagi pembedahan boleh mencapai 40%, dengan peningkatan risiko jangkitan berkait dengan usia, diet, berat badan, diabetes, penyakit jantung dan barah. SSI boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan, serta meningkatkan jangka masa tinggal seseorang di hospital dan kos rawatan. Luka terbuka semula (pemisahan tepi luka) boleh berlaku sekiranya luka gagal sembuh. Jangkitan di tempat luka dan berat badan boleh meningkatkan risiko luka terbuka semula.

NPWT adalah pembalut luka yang disambung dengan pam vakum yang menyedut cecair keluar dari luka. Keadaan ini dapat membantu penyembuhan luka dan mengurangkan risiko jangkitan.

Terdapat sejumlah besar kajian-kajian baru dalam dekad yang lalu kerana NPWT semakin dinilai untuk jenis-jenis luka pembedahan yang berbeza. Kami cuba menilai kesan NPWT terhadap risiko kematian, SSI dan luka terbuka semula.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati 44 kajian menganalisa NPWT dan komplikasi jangkitan tempat pembedahan dan lima kajian menganalisa keberkesanan kos NPWT. Sebanyak 7447 peserta dimasukkan dalam ulasan ini. Pelbagai jenis pembedahan yang dinilai seperti pemebehan lutut dan pinggul, pembedahan caesarean, pembedahan tulang patah dan pembedahan di bahagian perut. Sebilangan besar peserta adalah dari Amerika Utara, Eropah atau Australasia.

NPWT dibandingkan dengan kain pembalut yang standard (misalnya kain kasa) dalam semua 44 kajian. Pelbagai sistem NPWT digunakan. Hanya empat kajian yang melaporkan risiko kematian; terdapat sedikit perbezaan ditunjukkan antara NPWT dan kain pembalut standard dan buktinya berkepastian rendah. Kami mengumpulkan keputusan 31 kajian SSI; NPWT mungkin mengurangkan risiko SSI berbanding dengan pembalut standard (bukti kepastian sederhana). Empat belas kajian yang melaporkan mengenai luka terbuka semula digabungkan; terdapat bukti kepastian rendah yang menunjukkan tidak ada perbezaan yang jelas antara NPWT dan penjagaan luka standard.

Tantang analisa keberkesanan kos pula, dua kajian melihat wanita yang menjalani pembedahan caesarean, satu melihat peserta yang menjalani pembedahan tulang patah bahagian anggota bawah, satu kajian pembedahan lutut dan pinggul, dan satu lagi pada pembedahan jantung. Semua kajian ini menggunakan maklumat klinikal dari kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini. Terdapat bukti kepastian sederhana bahawa NPWT mungkin menjimatkan kos untuk luka pembedahan caesarean pada wanita gemuk dan mungkin tidak menjimatkan kos untuk luka pembedahan patah tulang. Bukti keberkesanan kos NPWT pada luka pembedahan lain adalah rendah atau sangat rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Jun 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save