Prokalsitonin, protein C-reaktif, dan kadar pemendapan eritrosit untuk mendiagnosis pielonefritis akut dalam kalangan kanak-kanak

Apakah isunya?

Bagi sesetengah kanak-kanak dengan jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan disetempatkan ke pundi kencing (saluran kencing bawah). Bagi yang lain, bakteria naik dari pundi kencing ke buah pinggang (saluran kencing atas). Hanya kanak-kanak dengan penglibatan saluran kencing atas berisiko untuk mendapat kerosakan buah pinggang kekal. Jika biopenanda tidak invasif dapat membezakan dengan tepat kanak-kanak dengan penyakit saluran kencing bawah daripada kanak-kanak dengan penyakit saluran kencing atas, rawatan dan susulan berpotensi untuk diindividukan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mengkaji kegunaan tiga ujian darah yang tersedia secara meluas (prokalsitonin, protein C-reaktif, kadar pemendapan eritrosit) dalam membezakan penyakit saluran kencing atas daripada bawah. Kami menemui 34 kajian yang relevan di mana 24 kajian menyediakan data untuk hasil utama kami. Dua belas kajian (1000 kanak-kanak) menyediakan data untuk ujian prokalsitonin; 16 kajian (1895 kanak-kanak) menyediakan data untuk ujian protein C-reaktif, dan 8 kajian (1910 kanak-kanak) menyediakan data untuk ujian kadar pemendapan eritrosit.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati semua tiga ujian sensitif (ringkasan nilai sensiviti antara 81% hingga 93%), tetapi tidak terlalu spesifik (ringkasan nilai spesifisiti antara 37% hingga 76%).

Kesimpulan

Tiada ujian cukup tepat untuk membolehkan klinisian dengan yakin membezakan penyakit saluran kencing atas daripada bawah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save