Ubat-ubatan untuk masalah tidur dalam demensia

Latar belakang

Pesakit demensia sering mengalami gangguan tidur. Ini termasuklah pengurangan tidur pada waktu malam, sering bangun tidur, mengembara pada waktu malam, dan tidur berlebihan pada siang hari.

Tingkah laku ini membawa banyak tekanan kepada penjaga mereka, dan mungkin berkaitan dengan kemasukan lebih awal ke institusi penjagaan bagi pesakit demensia. Mereka juga sukar diuruskan oleh kakitangan rumah jagaan.

Pendekatan yang tidak berasaskan ubat-ubatan untuk rawatan harus dicuba terlebih dahulu, Namun, ini mungkin tidak membantu dan ubat-ubatan sering digunakan. Oleh kerana masalah tidur mungkin disebabkan perubahan pada otak yang disebabkan oleh demensia, adalah tidak jelas sama ada tablet tidur yang normal berkesan untuk pesakit demensia, dan ada kebimbangan bahawa ubat-ubatan tersebut boleh menyebabkan kesan sampingan (bahaya) yang ketara.

Tujuan ulasan ini

Dalam ulasan Cochrane yang dikemas kini ini, kami cuba mengenal pasti faedah dan bahaya yang biasa bagi ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat masalah tidur dalam pesakit demensia.

Penemuan ulasan

Kami mencari sehingga Februari 2020 kajian yang dirancang dengan baik yang membandingkan mana-mana ubat yang digunakan untuk merawat masalah tidur dalam pesakit demensia dengan ubat palsu (plasebo). Kami berunding dengan panel penjaga untuk membantu kami mengenal pasti hasil yang paling penting untuk didapatkan dalam kajian.

Kami menemui sembilan kajian (649 peserta) yang menyiasat empat jenis ubat: melatonin (lima kajian), trazodone (satu kajian), ramelteon (satu kajian), dan antagonis orexin (dua kajian). Peserta dalam semua kajian menghidap demensia akibat penyakit Alzheimer. Kajian ramelteon, satu kajian melatonin, dan kedua-dua kajian antagonis orexin adalah dibiayai secara komersial. Secara keseluruhan, bukti adalah berkualiti sederhana atau rendah, yang bermaksud bahawa penyelidikan lebih lanjut cenderung mempengaruhi hasilnya.

Peserta dalam kajian trazodone dan kebanyakan peserta dalam kajian melatonin mengalami demensia tahap sederhana hingga teruk, sementara peserta dalam kajian antagonis ramelteon dan orexin mengalami demensia tahap ringan hingga sederhana.

Lima kajian melatonin melibatkan 253 peserta. Kami tidak menemui bukti bahawa melatonin memperbaiki tidur pada pesakit demensia yang disebabkan penyakit Alzheimer. Kajian ramelteon mempunyai 74 peserta. Maklumat sedia ada yang terhad tidak memberikan sebarang bukti bahawa ramelteon lebih baik daripada plasebo. Tidak ada bahaya yang serius bagi kedua-dua ubat tersebut.

Kajian trazodone hanya mempunyai 30 peserta. Ini menunjukkan bahawa dos rendah antidepresan sedatif trazodone, 50 mg, yang diberikan pada waktu malam selama dua minggu, mungkin meningkatkan jumlah masa tidur setiap malam (dengan purata 43 minit lebih lama dalam kajian tersebut) dan mungkin meningkatkan kecekapan tidur (peratusan masa tidur di tempat tidur). Ia mungkin sedikit mengurangkan masa terjaga pada waktu malam setelah tertidur, tetapi kami tidak pasti tentang kesannya. Ini tidak mengurangkan jumlah kekerapan peserta bangun pada waktu malam. Tiada kesan sampingan serius yang dilaporkan.

Kedua-dua kajian antagonis orexin mempunyai 323 peserta. Kami menemui bukti bahawa antagonis orexin mungkin mempunyai kesan yang berfaedah terhadap tidur. Secara purata, peserta dalam kajian tidur 28 minit lebih lama pada waktu malam dan mengurangkan 15 minit waktu terjaga setelah tertidur. Terdapat juga peningkatan kecil dalam kecekapan tidur, tetapi tidak ada bukti tentang kesan pada bilangan kekerapan peserta terjaga. Kesan sampingan berkurangan pada peserta yang mengambil ubat berbanding dengan yang mengambil plasebo.

Ubat-ubatan yang nampaknya memberi kesan yang baik pada tidur tidak memburukkan kemampuan berfikir peserta, tetapi kajian ini tidak menilai kualiti hidup peserta, atau melihat secara terperinci hasil untuk penjaga.

Kekurangan ulasan ini

Walaupun kami sudah mencari, kami tidak dapat menemui sebarang kajian tentang ubat tidur lain yang biasanya diberikan kepada pesakit demensia. Semua peserta menghidapi demensia kerana penyakit Alzheimer, walaupun masalah tidur juga sering berlaku dalam bentuk demensia yang lain. Tidak ada kajian yang menilai jumlah masa peserta tidur tanpa gangguan, iaitu hasil keutamaan yang tinggi bagi panel penjaga kami. Hanya empat kajian yang mengukur kesan sampingan secara sistematik.

Kami menyimpulkan bahawa terdapat jurang yang ketara dalam bukti yang diperlukan untuk membuat keputusan mengenai ubat-ubatan bagi masalah tidur dalam demensia. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk memaklumkan amalan perubatan. Adalah penting bahawa kajian melibatkan penilaian kesan sampingan yang teliti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save