Tekanan akhir ekspiratori positif (PEEP) tinggi berbanding rendah dalam kalangan pesakit dengan kecederaan paru-paru akut dan sindrom distres respiratori akut

Kecederaan paru-paru akut (ALI) dan sindrom distres respiratori akut (ARDS) adalah keadaan akut dan serius yang mempengaruhi struktur dan fungsi paru-paru yang disebabkan oleh peningkatan kebolehtelapan halangan alveolar-kapilari yang mengakibatkan keradangan. Kadar mortaliti ALI dan ARDS telah menurun dan kini dilaporkan 43%. Pesakit ALI dan ARDS memerlukan ventilasi mekanikal, tetapi intervensi ini boleh menyebabkan kecederaan paru-paru akibat ventilator. Atas sebab ini, sasaran terapeutik untuk pesakit ini bergantung kepada ventilasi yang melindungi paru-paru. Penggunaan tekanan akhir ekspiratori positif tinggi (PEEP) adalah sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kecederaan paru-paru akibat ventilator. PEEP adalah satu kendalian mekanikal yang memberi tekanan positif ke dalam paru-paru dan diguna terutamanya untuk memperbetul hipoksemia yang disebabkan oleh hipoventilasi alveolar. Di dalam ulasan Cochrane ini, kami menilai manfaat dan mudarat tekanan PEEP tinggi dan rendah dalam kalangan pesakit ALI dan ARDS. Pelaksanaan ulasan ini adalah relevan dan perlu kerana tahap optimum PEEP dalam kalangan pesakit masih kontroversial, dan bukti sedia ada menunjukkan tiada perbezaan mortaliti. Kami memasukkan tujuh kajian melibatkan sejumlah 2565 peserta dan mendapati tekanan tinggi berbanding tekanan rendah PEEP tidak menghasilkan pengurangan mortaliti di hospital, walaupun terdapat trend mortaliti menurun. Kami juga mendapati bukti heterogeniti klinikal di antara kajian-kajian (heterogeniti klinikal terkait dengan perbezaan peserta, intervensi, dan hasil yang mungkin mengimpak keputusan penggunaan PEEP). Kajian-kajian yang disertakan adalah berkualiti sederhana hingga baik. Kami tidak mendapati sebarang perbezaan signifikan dalam barotrauma - pneumotoraks pada radiografi dada atau penggunaan tiub dada bagi kes pneumotoraks yang diketahui atau disyaki. Tambahan juga kami dapat memastikan tahap PEEP yang tinggi memperbaiki pengoksigenan pesakit sehingga hari pertama, ketiga dan ketujuh. Bilangan hari bebas-ventilator menunjukkan tiada perbezaan signifikan di antara kedua-dua kumpulan (istilah hari bebas-ventilator merujuk kepada bilangan hari di antara kejayaan sapihan ventilasi mekanikal dan hari ke-28 selepas kajian bermula) dan data sedia ada tidak cukup untuk membolehkan gabungan tempoh inap di unit rawatan intensif. Kajian tambahan diperlukan untuk menentukan pesakit manakah yang patut menerima tahap PEEP yang tinggi dan cara terbaik untuk mengaplikasi intervensi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com

Tools
Information
Share/Save